Bahasa Malaysia, Economy, Featured, General, Govt, Politics

Hari Buruh 2017: Pekerja migran di Malaysia

Saya sudah banyak kali membangkitkan isu imigresen dan pekerja migran di negara kita. Pendirian saya terhadap masalah ini jelas: kerajaan perlu merombak semula dasar imigresen yang hanya menguntungkan kroni serta merangka satu pelan sumber manusia komprehensif agar negara kita boleh memaksimakan tenaga kerja tempatan.

Sempena Hari Buruh ini, saya ingin mengetengahkan nasib pekerja migran di Malaysia.

Kita nampak mereka, tapi kita jarang ambil perhatian. Kita dengar tentang mereka, tapi kita jarang mendengar rintihan mereka. 

Secara rasminya ada lebih kurang dua juta pekerja migran di Malaysia. Ini yang berdaftar. Yang tidak berdaftar pula dua juta lagi. Dalam kata lain, satu di kalangan 10 orang di Malaysia ini merupakan warga asing. Hari ini, pekerja migran lebih ramai daripada jumlah populasi kaum India, Kadazan dan Iban dicampur sekali.

Mengikut laporan Bank Dunia pada 2015, tiga perempat pekerjaan di Malaysia masih berada pada tahap pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana. Justeru, disebabkan pencapaian pendidikan yang lebih tinggi di kalangan rakyat Malaysia, dan aspirasi kita untuk mendapatkan pekerjaan berkemahiran tinggi, maka ekonomi kita memerlukan pekerja migran untuk memenuhi jurang dalam tenaga kerja tempatan.

Di kalangan pekerja migran dari lima negara yang mempunyai pekerja paling ramai di Malaysia, wanita membentuk lebih kurang 20% (315,093) orang pekerja daripada 1.9 juta orang keseluruhannya. 

Dalam kumpulan terbesar, iaitu pekerja dari Indonesia, wanita merangkumi lebih 33% dan lebih satu pertiga daripada mereka merupakan pekerja pembantu rumah. 

Di Malaysia, hanya wanita boleh memohon menjadi pembantu rumah asing. Mengikut statistik Kementerian Dalam Negeri, terdapat seramai 135,213 pembantu rumah asing di Malaysia pada 2016, dan 96% daripada mereka merupakan warga Indonesia (93,098), dan Filipina (37,550).

Sumbangan pekerja migran tidak boleh disangkal 

Saya telah banyak kali menulis tentang masalah dalam dasar immigrasi kita termasuk masalah kebergantungan terhadap pekerja migran. Namun, soalnya bukan sama ada Malaysia memerlukan pekerja migran ataupun tidak. Malah, saya berpendapat bahawa, masalah kita berpunca daripada kelemahan dasar dan strategi kerajaan untuk memaksimakan tenaga kerja tempatan serta mengecapi tenaga kerja global. 

Kajian termasuk Laporan Bank Dunia selewat tahun 2015 telah menunjukkan bahawa pekerja migran ada sumbangan positif kepada ekonomi kita.

Contohnya, pembantu rumah asing membolehkan wanita Malaysia kembali ke sektor pekerjaan serta meluangkan lebih masa untuk kerjaya mereka. Kajian demi kajian membuktikan bahawa ketersediaan pembantu rumah asing akan menjurus kepada peningkatan kadar penyertaan buruh wanita. Keadaan yang sama berlaku di Malaysia.

Seperti yang boleh dijangka, kesan pekerja migran ke atas pekerja tempatan berbeza mengikut sektor. Contohnya, dalam industri pengeluaran, impaknya negatif, namun dalam industri perkhidmatan, impaknya positif, “terutamanya dalam sektor kewangan, perniagaan dan hartanah, insurans, kesihatan dan perkhidmatan tambah-nilai tinggi yang lain.” Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya, impak adalah positif: Laporan Bank Dunia 2012 menyatakan bahawa bagi setiap 10 orang imigran dalam ekonomi, 5.2 pekerjaan diwujudkan untuk pekerja Malaysia, 2 daripadanya untuk pekerja wanita.

Pekerja migran tidak punya negara 

Kata-kata lama menyebut bahawa kaum pekerja tidak punya negara. Ini merupakan kebenaran terutamanya kepada pekerja migran. Mereka bukan sahaja merupakan orang asing dan pendatang di negara mereka kerja, malah kerap kalinya pekerja migran juga tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada negara asal mereka.

Justeru, pekerja migran di Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan masalah.

Laporan daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat telah bertahun-tahun menyebut bahawa pekerja migran di Malaysia dipaksa bekerja dalam keadaan seperti buruh paksa ataupun buruh hutang oleh majikan, ejen, dan lain-lain pihak menyebabkan mereka hidup dalam penindasan dan tiada kemampuan untuk membela diri.

Penderaan fizikal juga kerap berlaku. Kita sudah pernah baca tentang beberapa kes penderaan pekerja migran namun, ada ramai lagi yang terpaksa menanggung pahit dalam senyap.

Malah kejadian penderaan begitu teruk sehingga Indonesia pada tahun 2009 dan Kemboja pada tahun 2011 telah menghentikan penghantaran warga mereka ke Malaysia untuk menjadi pembantu rumah. Walaupun moratorium tersebut telah berakhir namun, selewat 2016, Laporan Penyeludupan Manusia menyebut bahawa wanita Kemboja masih menjadi mangsa penindasan di Malaysia.

Semua di atas bukan cerita sepenuhnya lagi. Ramai pekerja migran telah menjadi mangsa penyeludupan manusia, pemerdangangan seks secara paksa, dan perkahwinan atur secara paksa. Bagi pekerja migran tidak berdaftar pula, penindasan menjadi berlipat ganda akibat pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas status dan keadaan mereka. 

Pekerja migran terpaksa meninggalkan keluarga untuk mencari nafkah di Malaysia bagi memberikan keselesaan masa depan kepada orang tersayang. Sama ada suka atau tidak pekerja migran merupakan bahagian penting dalam ekonomi Malaysia. Mereka lemah kerana mereka orang asing yang dianggap tidak mempunyai hak. Mereka juga sering dipersalahkan sebagai penyebab masalah sosial dan ekonomi negara.  

Mereka lemah kerana tidak mempunyai perlindungan undang-undang secukupnya dan justeru mudah menjadi mangsa buli.

Mereka lemah kerana dalam budaya patriaki kita di mana wanita Malaysia sendiri menghadapi diskriminasi di serata ruang pada setiap hari, mereka wanita asing merasa hempedu diskrimasi dua dan tiga kali ganda pekatnya. 

Saya menyeru agar Malaysia menjadi sebuah negara dan masyarakat berperikemanusiaan. Kita tidak patut membenarkan penindasan terhadap orang lain, tidak kira mangsa itu warga negara Malaysia atau sebaliknya. Pengeksploitan pekerja migran merugikan pekerja tempatan. Jika pekerja asing sanggup menerima gaji rendah dan keadaan kerja yang teruk, maka kualiti pasaran kerja secara keseluruhan akan diheret ke bawah. Ini akhirnya akan memberi kesan buruk kepada pekerja Malaysia. Tambahan pula, masyarakat yang menghalalkan penindasan akan akhirnya termakan sendiri. Tidak sukar untuk membayangkan penindasan sistemik terhadap warga migran hari ini boleh menjadi penindasan terhadap kita walaupun sebagai warga negara. Justeru, kita yang mempunyai kemampuan yang lebih besar daripada rata-rata pekerja migran kini perlulah menghentikan tren ini segera. 

Bersatu dan bersolidariti-lah wahai pekerja!

Selamat Hari Buruh 2017.

Hidup Pekerja! 

Advertisements

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: