Bahasa Malaysia, Community, Featured, General, Govt, Politics, press

LIMA tugasan penting untuk Ketua Polis Negara yang baru demi untuk memulihkan maruah dan profesionalisme Polis DiRaja Malaysia

Semalam merupakan hari terakhir Khalid Abu Bakar sebagai ketua polis negara.

Bekas Pengarah Cawangan Khas, Mohamad Fuzi Harun akan menggantikan beliau sebagai ketua polis negara yang baru.

Dalam saya mengalu-alukan ketua polis negara yang baru, saya juga ingin memohon agar beliau segera melaksanakan lima tugasan penting dalam minggu pertama menyandang jawatan baru ini, agar mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM):

1. Selesaikan kes penculikan Pastor Raymond Koh dan kes orang hilang yang lain

Seluruh negara telah menonton dengan perasaan ngeri rakaman CCTV penculikan Pastor Koh yang berlaku di siang hari. Operasi penculikan tersebut nampaknya seakan-akan dilakukan oleh sekumpulan anggota yang mempunyai latihan khas, sekaligus menimbulkan syak bahawa ada penglibatan agen pengganas (terror agents).

Selepas lebih 200 hari, pihak polis masih gagal menyelesaikan kes ini mahupun memberikan penjelasan yang memuaskan terhadap penculikan Pastor Raymond Koh.

Tiga orang lagi juga dilaporkan hilang: Joshua dan Ruth Hilmy dan Amri Che Mat.

Kita tidak tahu jika kes kehilangan ini juga berhubungkait dengan kes Raymond Koh, namun rakyat Malaysia akan terus hidup dalam ketakutan bahawa ada aktiviti keganasan telah berlaku di tengah-tengah masyarakat kita selagi kes ini belum mendapat penyelesaian.

2. Tumpaskan sindiket judi haram 

Aktiviti judi haram terutama di kawasan kejiranan, menggunakan peralatan komputer dan mesin elektronik semakin berleluasa di negara kita. Saya sendiri telah berulang kali membangkitkan tentang kewujudan pusat judi haram di kawasan saya.

Dalam tempoh setahun ini, pihak polis aktif menjalankan serbuan di seluruh negara.

Namun, kita mendapati bahawa selepas setiap kali serbuan polis, pusat judi haram yang baru akan dibuka di tempat yang lain, sehingga ada yang membuka sarang judi dalam hutan seperti yang diakui oleh PDRM sendiri.

Gejala ini bukan sahaja membawa kepada masalah-masalah sosial malah menimbulkan persoalan sama ada sindiket judi haram ini mempunyai perlindungan daripada “pihak berkuasa” sehingga begitu berani meneruskan operasi walaupun selepas diserbu polis.

Ketua polis negara yang baru perlu menumpaskan sindiket judi haram ini sama sekali tanpa membenarkan mereka bangkit semula selepas ini.

3. Hentikan kes kematian dalam tahanan polis

Menurut jawapan parlimen oleh Menteri Dalam Negeri kepada Ahli Parlimen Puchong pada 21 Mac 2017, terdapat 110 kes kematian dalam lokap polis antara 2010 dan 2016.

Dalam jawapan Menteri yang sama kepada Ahli Parlimen Sungai Siput pada 30 Mac 2017 pula, beliau menyebut bahawa terdapat 1,619 kes kematian dalam penjara antara 2010 dan 2016.

Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sudah berlaku tiga (3) kes kematian dalam tahanan polis.

Kes kematian dalam tahanan perlu dihentikan. Ia bukan sahaja merupakan satu kezaliman terhadap mangsa dan keluarga mereka malah mendedahkan perbuatan salahguna kuasa oleh pihak berkuasa.

4. Nyahpolitikkan (depoliticise) pasukan polis, laksanakan Laporan Suruhanjaya DiRaja Tun Dzaiddin 2005

Khalid Abu Bakar telah mencipta rekod tersendiri sebagai KPN yang paling politikal dalam sejarah Malaysia. Beliau telah dikenali sebagai KPN yang sanggup memantau media sosial untuk mencegah sebarang pandangan yang bertentangan dengan parti pemerintah.

KPN yang baru haruslah “membebaskan” pasukan polis daripada pengaruh politik kepartian dan menumpukan segala kekuatan polis terhadap melawan jenayah.

Tragedi kematian seorang anggota polis yang ditembak dalam balai polis hanya beberapa hari sebelum persaraan Khalid Abu Bakar merupakan suatu tanda hitam dalam kepimpinan ketua polis negara lama yang mengabaikan tugas melawan jenayah.

Situasi ini mestilah ditangani serta merta.

Semasa beliau mula-mula menyandang jawatan KPN, Khalid Abu Bakar pernah menyatakan bahawa seorang pegawai penyiasat (IO) terpaksa mengendalikan sehingga 19 kes sebulan manakala IO di kawasan hot spot berjenayah tinggi terpaksa mengendalikan antara 20-30 kes sebulan.

Bebanan kerja yang terlalu banyak bukan sahaja mengurangkan kecekapan malah merbahayakan nyawa anggota polis kita yang melawan jenayah.

Saya telah beberapa kali menggesa kerajaan agar perlu mengupayakan Jabatan Penyiasatan Jenayah yang merupakan tunggak utama PDRM melawan jenayah dan bukannya unit Cawangan Khas, yang antara lain melakukan kerja intipan politik.

KPN yang baru patut menyokong perlaksanaan sepenuhnya cadangan-cadangan Suruhanjaya DiRaja Tun Dzaiddin untuk Pembaharuan PDRM 2005 bagi mengembalikan kewibawaan pasukan polis kita.

5. Siasat MO1

Akhir sekali, KPN baru mestilah bertindak dengan tegas, adil dan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Ini termasuklah melakukan siasatan terhadap Malaysian Official 1 (MO1).

MO1 telahpun disebut oleh Jabatan Kehakiman (Department of Justice) Amerika Syarikat pada Julai 2016 dalam satu kes mahkamah untuk menyita USD1 billion wang dan aset berkaitan 1MDB yang didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Selain kerajaan Amerika Syarikat, 1MDB juga disiasat di sekurang-kurangnya enam (6) negara di seluruh dunia atas pelbagai dakwaan jenayah kewangan termasuk pengubahan wang haram.

Pada Jun 2017 pula, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendedahkan bahawa sebahagian wang yang digelapkan daripada 1MDB telah digunakan untuk membeli barang-barang kemas termasuk berlian bernilai RM120 juta untuk isteri MO1.

Walaupun disiasat di Amerika Syarikat dan serata dunia, di Malaysia pula, Khalid Abu Bakar sebelum ini bukan sahaja enggan menyiasat MO1 dan isteri malah telah mengenepikan kes Jabatan Kehakiman tersebut sebagai “kes sivil” semata-mata.

KPN yang baru haruslah bertindak profesional dan melakukan siasatan terhadap MO1 serta merta.

Rakyat Malaysia dan anggota parlimen pembangkang akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Ketua Polis Negara yang baru untuk memulihkan semula maruah dan profesionalism Polis DiRaja Malaysia.

Steven Sim Chee Keong
Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Advertisements

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: