General, Govt, Politics, press

Kenyataan “tiada sebab orang Malaysia miskin” menunjukkan keangkuhan kerajaan Barisan Nasional

Kenyataan media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam

29 SEPTEMBER 2017 | BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG

Kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah bahawa tiada sebab rakyat Malaysia miskin amat mengecewakan. Laporan media juga memetik bahawa pegawai tertinggi Kementerian Kewangan tersebut menyatakan bahawa kalau ada orang Malaysia yang miskin, maka salah dirinya sendiri. (Sumber: https://m.malaysiakini.com/news/396621)

Ini bukan kali pertama kerajaan pusat membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan menjijikan. Pada Mac 2016, semasas berucap dalam Parlimen, Perdana Menteri Najib Razak sendiri telah berkata bahawa kos sara hidup yang tinggi bukan disebabkan oleh dasar kerajaan tetapi adalah kerana taraf pendidikan rakyat yang rendah justeru tidak mampu mencapai gaji tinggi. (Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/335798)

Kenyataan sebegini jelas menunjukkan keangkuhan kerajaan Barisan Nasional pada hari ini yang sudah tidak lagi memperdulikan keperitan hidup rakyat, terutamanya anak muda yang menjadi tonggak masa depan negara.

Anak muda kita hidup dalam keadaan susah akibat kos sara hidup yang tinggi, pasaran kerja yang tidak bermaya dan masalah hutang keliling pinggang.

Kos hidup semakin tinggi

Sejak pengenalan GST pada April 2015, harga barang semakin naik setiap tahun. Inflasi tahunan daripada pengiraan Indeks Harga Pengguna (Consumer Price Index – CPI) meningkat pada kadar 2.1% pada April 2016, dan 4.4% pada April 2017. Antara peningkatan paling tinggi termasuk harga makanan dan minuman (bukan alkohol) yang mempunyai kadar inflasi 4.1%!

Kadar inflasi ini adalah dua (2) kali ganda lebih daripada ramalan kerajaan dalam Bajet 2017.

Adakah ini salah rakyat Malaysia?

Pasaran kerja yang lemah – anak muda menganggur dan bergaji rendah

Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat ini, pasaran kerja pula amat lemah. Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia Mac 2017 menunjukkan bahawa kadar pengangguran belia mencecah 10.7% pada tahun 2015, iaitu tiga (3) kali ganda lebih tinggi daripada kadar pengangguran nasional pada 3.1%.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa daripada 468, 000 orang penganggur di Malaysia pada tahun 2015, 60% merupakan anak muda berumur antara 20-29 tahun.

Pada hari ini, ijazah universiti juga tidak menjamin masa depan anak muda kita. Laporan Bank Negara yang sama menyatakan bahawa pada tahun 2015, terdapat seramai 65, 610 orang siswazah yang gagal mendapat kerja enam (6) bulan selepas tamat pengajian mereka!

Jika ada pekerjaan sekalipun, rakyat Malaysia terpaksa berdepan dengan masalah gaji rendah. Mengikut Laporan Penyiasatan Gaji dan Upah Malaysia 2016, 50% pekerja Malaysia bergaji kurang daripada RM1,703 sebulan. Di kawasan luar bandar, separuh daripada pekerja kita hanya menerima gaji bulanan kurang daripada RM1,256.

Adakah pasaran kerja yang lemah juga disalahkan ke atas anak muda? Ataupun salahnya seperti yang pernah disebut oleh Bank Negara iaitu ekonomi kita mengalami krisis keyakinan dan kredibiliti akibat pelbagai skandal kewangan terutamanya 1MDB?

Anak muda hutang keliling pinggang

Jangan lupa bahawa majoriti mahasiswa kita sudah mempunyai hutang pendidikan berpuluh-puluh ribu ringgit sebaik sahaja keluar dari universiti. Dalam keadaan bergaji rendah dan tidak mendapat pekerjaan, sudah tentu hutang mereka akan menjadi beban yang amat besar.

Pada masa yang sama, mengikut laporan Jabatan Insolvensi, terdapat 8,000 sehingga 20,000 orang rakyat Malaysia yang mengisytiharkan muflis setiap tahun. 70% daripada mereka merupakan anak muda berumur antara 35 sehingga 45 tahun. Angka terkini menunjukkan bahawa pada hari ini hampir 300,000 orang rakyat Malaysia telah muflis.

Adakah semua ini petunjuk bahawa ekonomi kita baik dan rakyat tidak miskin? Adakah kemiskinan dan kesusahan rakyat disebabkan oleh kesalahan mereka sendiri?

Jika pengurus kewangan tertinggi negara kita boleh membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab seperti itu, maka tidak hairanlah “ada sebabnya orang Malaysia miskin”.

Steven Sim Chee Keong
Ahli Parlimen Bukit Mertajam
Timbalan Jurucakap, Jawatankuasa Parlimen DAP untuk Sumber Manusia

Advertisements

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: