Kenyataan media Steven Sim, calon Pakatan Harapan Parlimen Bukit Mertajam P.45
18 APRIL 2018 | BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG
Jabatan Kastam telah mengaku bahawa kerajaan pusat memberikan pelepasan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada syarikat asing, China Communications Construction Company (CCCC) yang terlibat dalam projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 bilion. (Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/420164)
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Subromaniam Tholasy, pelepasan GST kepada syarikat negara China tersebut adalah kerana projek ECRL membabitkan kepentingan awam.
Berdasarkan alasan tersebut, maka kerajaan pusat juga patut memberikan pelepasan GST kepada projek-projek awam dan perkhidmatan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sudah tentu melibatkan kepentingan awam.
Tambahan pula, jika syarikat China yang mendapat untung membina projek mega di negara kita, dan juga menggaji pekerja asing dari China dengan alasan “penguasaan bahasa” (Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/418267) boleh mendapat pelepasan GST, maka kerajaan pusat patut memberikan pelepasan GST dan insentif cukai yang lain kepada syarikat-syarikat tempatan agar mereka mengambil pekerja tempatan dan menaikkan gaji minima kepada RM1,500.
Dengan alasan yang sama, kerajaan pusat juga patut memberikan pelepasan GST kepada projek-projek perumahan mampu milik.
Dalam kata lain, mengapa rakyat Malaysia, syarikat tempatan dan kerajaan negeri sekalipun terpaksa menanggung GST sedangkan syarikat asing mendapat pelepasan GST?
Steven Sim Chee Keong
Calon Pakatan Harapan
Parlimen Bukit Mertajam P.45