Bahasa Malaysia, Economy, Featured, General, Govt, Mind, Politics

“Mereka generasi yang sungguh-sungguh sayangi Malaysia.”

Kelmarin, selepas musyawarah kabinet, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pembentukan Tabung Harapan Malaysia untuk membolehkan rakyat Malaysia memberikan sumbangan untuk menangani hutang negara.

Ramai yang menyokong usaha ini. Di internet saya nampak ada yang telah pun memuat naik keratan slip bank bukti sumbangan mereka sejurus selepas pengumuman. Ada yang menyatakan hasrat untuk menderma lalu menggalakkan rakan-rakan lain untuk turut berbuat demikian. Ada seorang warga Malaysia yang bekerja di Singapura berkata bahawa beliau akan mengeluarkan 10 peratus wang CPF (semacam KWSP, di negara Singapura) untuk disalurkan ke Tabung Harapan.

Semangat rakyat Malaysia sayangkan tanah air begitu terserlah. Hakikatnya, sebelum Tabung Harapan ini dilancar sudah pun wujud usaha persendirian di kalangan rakyat Malaysia untuk menyumbang ke arah membayar hutang negara yang kini mencecah RM1 trilion tersebut.

Namun, ada juga yang mempersoalkan kesesuaian tindakan tersebut.

Ada juga yang sempat memperli, ““Takkan kerajaan pun nak minta derma?”

Ada yang menggelarnya “politik tin Milo”, merujuk kepada tabung segera yang diperbuat daripada tin Milo kosong di tangan ahli parti di perhimpunan parti politik untuk mengutip derma orang ramai.

Derma untuk selamatkan negara bukan perkara baru.

Mungkin mereka lupa, ataupun tidak tahu bahawa negara ini didirikan atas sumbangan derma rakyat pelbagai kaum.

Apabila Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman ingin pergi ke London pada tahun 1955 bagi menuntut British menganjurkan pilihan raya sebagai persiapan menjadi sebuah negara merdeka, beliau merayu derma daripada orang ramai ketika itu sebab tiada wang buat tambang perjalanan.

Rakyat ketika itu, tidak kira kaum dan agama, tidak kira miskin kaya, lelaki perempuan, telah menghulurkan apa yang mereka mampu.

Yang berduit serahkan duit. Yang bergelang emas, lucutkan gelang, yang bercincin pusaka tanggalkan cincin, sampai rantai mas kahwin pun diinfak untuk membolehkan Tunku pergi ke London.

Orang miskin yang tidak berpunya barang kemas juga tidak ketinggalan memberi derma merdeka. Mereka memberikan hasil kebun dan ladang, padi dan pisang, penoreh getah yang papa kedana menyerahkan getah sekeping daripada empat keping yang mereka peroleh setiap hari, ada yang berikan pakaian dan pelbagai benda yang mampu.

Semuanya ingin membuat sesuatu demi kemerdekaan tanah air tercinta.

Kempen mengutip derma untuk selamatkan negara bukan sahaja pernah dibuat di Malaysia.

Pada tahun 1919, Stanley Baldwin yang pada ketika itu setiausaha kewangan Perbendaharaan UK (beliau kemudian menjadi perdana menteri pada tahun 1923) merayu kepada golongan berada negara itu untuk menyumbang ke arah melangsaikan hutang negara yang tinggi akibat Perang Dunia Pertama. Baldwin sendiri ketika itu mendermakan 20 peratus daripada harta keluarga beliau kepada negara. Lapan tahun selepas rayuan Baldwin, seorang penderma yang tidak bernama telah menyumbangkan £500,000 kepada Tabung Kebangsaan untuk tujuan tersebut. Oleh kerana jumlah derma terlalu sedikit berbanding hutang kerajaan ketika itu, maka dana Tabung Kebangsaan tidak disentuh. Hari ini Tabung Kebangsaan tersebut bernilai £400 juta.

Lebih dekat dengan kita, pada tahun 1998, semasa krisis kewangan Asia dan dibelenggu hutang International Monetary Fund (IMF), rakyat Korea Selatan berpusu-pusu menghulurkan barang-barang emas mereka – cincin, rantai, gelang, anting-anting, termasuk pingat emas kejohanan sukan sekali – untuk membantu kerajaan membayar hutang negara. Peristiwa ini masih segar di ingatan rakyat Korea Selatan pada hari ini dan mereka mengimbas kembali dengan bangga bahawa apabila negara dalam kesusahan, rakyatlah yang tampil menyelamatkannya.

Mengapa kerajaan kutip derma semacam “tidak profesional”?

Ada juga yang berkata bahawa kerajaan patut “lebih profesional” bukan berlagak macam badan amal untuk mengutip derma, sebaliknya “buatlah apa yang kerajaan patut buat” iaitu menggunakan kaedah percukaian.

Pertama, kita perlu faham bahawa Tabung Harapan Malaysia ini bersifat “one-off” dan sementara. Ini merupakan saluran kepada rakyat Malaysia yang ingin mengambil bahagian dalam usaha menyelamatkan negara tercinta pasca-9 Mei.

Misi kita tidak berakhir selepas mengundi dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Saya pernah menulis bahawa, kemenangan PRU14 bukan kemenangan parti politik, tetapi kemenangan rakyat Malaysia. Kita lihat selepas 9 Mei, seakan-akan ada suatu kebanggaan baru terhadap Malaysia. Rakyat Malaysia pelbagai kaum telah memperbaharui semangat sayangkan negara setelah sekian lama menanggung rasa malu terhadap kerajaan kleptokrat yang terdahulu.

Namun, kerja kita baru bermula. Selepas 9 Mei, rakyat tidak lagi rela “subcon” hak kita untuk menentukan hala tuju negara kepada golongan orang politik sahaja.

Jika negara kita milik kita semua, dan bukan hanya milik ahli politik dan pembesar semata-mata, maka biar kita semua bekerja keras untuk menjaganya.

Kedua, antara faktor bangkitnya rakyat melawan rejim lama dalam PRU14 ialah beban kos sara hidup yang memuncak dan mencekik rakyat. Justeru, satu minggu selepas menubuhkan kerajaan baru, Pakatan Harapan menunaikan janji pilihan raya memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang menjadi antara sebab utama kenaikan harga barang mengikut laporan Bank Negara sendiri. Oleh itu, jika kerajaan Pakatan Harapan mengekalkan GST ataupun menaikkan kadar cukai lain, maka ini merupakan suatu pembelotan terhadap sokongan rakyat.

Ketiga, dalam keadaan hutang negara yang tinggi dan ekonomi yang perlahan, sekiranya kerajaan masih lagi menaikkan cukai, maka pasaran akan terus lembab kerana rakyat, termasuk syarikat-syarikat swasta, akan menyusutkan perbelanjaan mereka.

Keempat, di masa peralihan GST kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), rakyat Malaysia akan menikmati tempoh “cuti cukai” (tax holidays), yang tiada cukai penggunaan (consumption tax) dikenakan. Ini membolehkan rakyat mempunyai sekurang-kurangnnya tempoh masa tiga bulan untuk mengatur susun semula kewangan mereka dan sedikit sebanyak meringgankan beban kos sara hidup yang selama ini mencengkam kehidupan terutamanya bagi golongan miskin. Untuk mereka yang berkemampunan, penjimatan daripada tempoh “cuti cukai” ini bolehlah disumbangkan untuk membantu kewangan negara.

Kelima, derma dan cukai jelas berbeza. Tabung Harapan memberikan peluang kepada mereka yang berkemampunan dan berkehendak untuk menyumbang kepada pembayaran hutang negara; tiada paksaan di sini. Ini berbeza dengan cukai di mana pembayarnya wajib membayar cukai tersebut. Justeru, kerajaan memberikan pilihan ekonomi kepada rakyat, sama ada untuk memegang wang tersebut sebagai simpanan hari hujan, membelanja atau melabur wang tersebut di pasaran demi menjana ekonomi, ataupun untuk menyumbang kepada pembayaran hutang negara. Langkah ini sebagai langkah sementara sebenarnya lebih bijak dan demokratik.

“Sayangi negara jauh lebih mulia daripada sayangi wang.” – Stanley Baldwin

Kita berada di suatu persimpangan yang amat unik dalam sejarah negara kita. Rakyat Malaysia telah pun menyahut peluang pada 9 Mei untuk melakar sejarah melakukan perubahan politik yang terbesar sejak 1957. Justeru, kini ramai yang sudah tentu tidak rela duduk dengan perasaan “helpless”, tidak terdaya berbuat apa-apa, melihat angka hutang negara mencecah RM 1,000,000,000,000 (satu trilion).

Tabung Harapan Malaysia merupakan kesinambungan kepada usaha kita pada 9 Mei, malah jauh lebih dulu lagi, iaitu sejak bangkitnya aspirasi sebuah bangsa yang inginkan kemerdekaan buat tanah air sehingga menyemarakkan api perjuangan sampailah lahirnya sebuah negara merdeka Malaysia.

Stanley Baldwin telah menulis petikan berikut di The Times pada 24 Jun 1919 dengan menggunakan nama samaran “FST” agar beliau tidak dikenali apabila beliau menderma satu perlima daripada harta keluarga sekaligus membuat rayuan untuk rakyat memberikan sumbangan kepada negara:

“Bagaimanakah sebuah bangsa boleh diinsafkan tentang keparahan keadaan kewangan negara? Bahawasanya sayangi negara jauh lebih mulia daripada sayangi wang? Ini hanya boleh ditunjuk melalui teladan, dan golongan yang berada pada hari ini mempunyai peluang yang tidak akan berulang lagi, untuk berbakti kepada tanah air kita.”

(How can the nation be made to understand the gravity of the financial situation? That love of country is better than love of money? – This can only be done by example, and the wealthy class have today an opportunity of service which can never recur)

Nescaya, di masa-masa hadapan, generasi muka akan mengimbas kembali ke detik-detik ini dan berkata tentang kita, “Mereka generasi yang sungguh-sungguh sayangi Malaysia.”

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: