Bahasa Malaysia, Govt, KBS, Politics

Kelantan hanya mampu bayar 1 peratus hutang

KUALA LUMPUR: Kerajaan Kelantan didakwa hanya mampu menjelaskan RM3.94 juta atau satu peratus daripada keseluruhan hutang yang perlu dibayar pada Kerajaan Persekutuan pada 2016, iaitu RM395.83 juta.

Mendedahkan perkara itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam dari DAP, Steven Sim Chee Keong, mendakwa baki keseluruhan hutang awam Kerajaan Kelantan juga mencecah hampir RM1.4 bilion setakat 2016.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, data berkenaan menunjukkan betapa Kerajaan Kelantan lemah dalam pengurusan kewangan kerajaan negeri.

“Daripada segi prestasi kewangan, kerajaan Kelantan mengalami kerugian setiap tahun dari 2012 sehingga 2016. Jumlah defisit keseluruhan dalam tempoh berkenaan ialah sebanyak RM1.1 bilion.

“Dalam tempoh sama, hutang awam kerajaan negeri juga bertambah setiap tahun. Baki hutang awam kerajaan Kelantan pada 2016 ialah RM1.4 bilion.

“Biar rakyat menilai sendiri adakah prestasi kewangan sebegini menonjolkan gambaran urus tadbir baik.

“Saya harap pemimpin PAS tidak lagi menafikan realiti yang berlaku, berhenti memutarbelitkan fakta dan menyalahkan pihak lain, sebaliknya memberanikan diri berdepan kenyataan dan kelemahan serta berubah kepada amalan urus tadbir cekap, bertanggungjawab dan telus demi menjaga kepentingan rakyat Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendedahkan kerajaan Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangan awam di Dewan Rakyat, sehingga menyebabkan beliau dikecam teruk oleh barisan kepemimpinan PAS.

Berikutan itu Guan Eng yang kesal atas dakwaan beberapa pemimpin PAS Kelantan yang melabel beliau sebagai anti Melayu dan anti Islam, tampil dengan bukti iaitu surat rasmi permohonan pinjaman daripada kerajaan PAS Kelantan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelar tindakan Guan Eng itu dengan menganggap menganggap pendedahan surat rasmi berkenaan sebagai tidak elok dan melanggar nilai moral.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mempertahankan kerajaan Kelantan dan mempersoalkan keperluan dan matlamat menghina serta mendedahkan surat sulit Kerajaan Kelantan.

Katanya, Kelantan menjadi negeri miskin ketika ini kerana tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menghentikan projek pembangunan dan keperluan asas ketika menjadi Perdana Menteri keempat selepas negeri itu jatuh ke tangan PAS pada 1990, mengakibatkan sumber pendapatan dan pembangunan kerajaan negeri itu terbantut.

“Semasa menjadi Perdana Menteri, saya banyak menyalurkan peruntukan bagi memperbetul dan membangunkan Kelantan dari segi infrastruktur pembangunan ataupun penebatan banjir.

“Lanjutan itu, Kerajaan Kelantan dapat mengurangkan defisit setiap tahun dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik kepada RM13,593 atau 95.8 peratus dari 2008 hingga akhir 2017, berbanding kenaikan 60.6 peratus bagi Pulau Pinang untuk tempoh sama.

“Negeri yang kurang membangun patut dibantu dengan lebih banyak oleh kerajaan Pusat, bukan dihina dan diperlekeh dengan berterusan,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s