Bahasa Malaysia, Hikayat

Peranan Institusi Raja di Malaysia menjelang dekad ke-3 abad ke-21

Tawarikh empayar China mencatit pada penghujung abad ke-18, semasa pemerintahan baginda, Maharaja Qian Long sering mengenakan pakaian orang kebanyakan lalu meninjau keadaan rakyat secara senyap.

Sejarah Melayu pula merakamkan bagaimana 300 tahun sebelum Qian Long, Sultan Alauddin Riayat Shah, Sultan Melaka juga menyamar sebagai rakyat biasa untuk turun padang meninjau masalah jenayah di negeri itu.

Selalunya kita mendengar tentang kisah-kisah Raja turun padang berpakaian biasa meninjau keadaan rakyat dalam cerita-cerita lama. Namun pada bulan Jun yang lalu, saya berkesempatan untuk melihat sendiri bagaimana Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra, mencemar duli turun padang, berpakaian biasa, berbasikal, bukan sahaja untuk meninjau negeri malah untuk menghulurkan sumbangan kepada rakyat yang memerlukan bantuan. Saya difahamkan ini merupakan aktiviti mingguan Tuanku Raja Muda Perlis  sejak tahun 2013 lagi.

Apabila baginda turun padang, wakil agensi-agensi kerajaan tempatan, negeri dan pusat turut turun bersama, bukan sebagai pengiring, tetapi supaya pegawai-pegawai kerajaan boleh melihat dengan mata sendiri keadaan setempat, kehidupan rakyat dan sekaligus dapat menyelesaikan masalah yang timbul dengan serta merta. Bayangkan “stress” Yang DiPertua PBT mengayuh basikal bersama Tuanku dan sepanjang perjalanan mereka kelihatan sampah sarap dan persekitaran yang tidak bersih. Bayangkan pengarah JKR jika keadaan jalan berlopak-lopak, atau pengarah JKM jika ada orang miskin yang tercicir daripada perhatian program membasmi kemiskinan. Ternyata program ini telah membawa kebaikan secara langsung kepada puluhan ribu Rakyat Perlis. 

Tetap berwaja Si Manjakini,

Walau cemar menjulur dekar,

Tetap berbisa si Cintamani,

Walau cemar menyusur akar.

Tuah kerja di hujung bulat,

Tuah hayat di hujung manja,

Tuah Raja disanjung daulat,

Tuah Rakyat disantun Raja.

Raja-Raja terus memainkan peranan yang amat penting sebagai Pelindung Rakyat Malaysia

Kisah Raja Muda Perlis mengayuh basikal berjumpa rakyat ini saya jadikan mukadimah kepada perkongsian saya sebagai salah satu gambaran realiti institusi Raja di negara kita pada hari. Hakikatnya Institusi Raja terus memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan negara dan bangsa Malaysia.

Dalam buku beliau yang bertajuk “Protector: An analysis of the concept and practice of loyalty in leader-led relationships within Malay society” yang diterbitkan pada 1979, Dr. Chandra Muzaffar menyatakan bahawa selepas Perang Dunia Kedua, dan selepas penubuhan UMNO, pemimpin nasionalis Melayu dilihat sebagai “Protector” ataupun “Pelindung” kaum Melayu menggantikan Raja-Raja Melayu.

Namun, bagi sarjana seperti Profesor Anthony Milner, Raja-Raja Melayu tidak pernah berhenti daripada memainkan peranan yang proaktif dalam kerangka Perlembagaan sejak 1957. 

Pada pandangan saya pula, dalam abad ke-21 ini, kegagalan pemimpin parti nasionalis Melayu yang terpalit dengan pelbagai skandal rasuah dan salahguna kuasa telah memfokuskan kembali peranan Raja-Raja sebagai Pelindung, tetapi kali ini bukan sahaja untuk kaum Melayu malah seluruh Rakyat Malaysia.

Saya ingin menggariskan secara spesifik dua (2) peranan utama Institusi Raja sebagai Pelindung rakyat Malaysia, yakni:

  1. Institusi Raja menjadi pemangkin urus tadbir baik.
  1. Institusi Raja menjadi perekat sosial masyarakat Malaysia yang majmuk.

Institusi Raja sebagai pemangkin urus tadbir baik

Walaupun konsep Raja Berpelembagaan bermakna, Raja-Raja tidak boleh terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan, namun, Institusi Raja boleh menjadi inspirasi, ilham dan pedoman kepada urus tadbir baik ataupun “good governance” di negara ini. 

Dalam era populisme politik, Institusi Raja boleh bertindak sebagai suara rasional mengimbangkan politik populis. 

Contohnya, sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-13, semasa perasmian sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada Mei 2008, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bertitah bahawa cukai taksiran di Selangor tidak dapat diturunkan seperti dalam manifesto Pilihan Raya Umum disebabkan perbelanjaan pihak berkuasa tempatan yang terlalu tinggi. 

Institusi Raja juga boleh memberikan pedoman kepada ketiga-tiga cabang kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang berfaedah kepada Rakyat. 

Pada bulan Mac 2017, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dalam satu majlis peluncuran buku telah bertitah menyeru para hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan untuk berani mengemukakan penghakiman bertentangan (“dissenting judgement”) demi menegakkan Kedaulatan Undang-Undang ataupun Rule of Law di negara ini. 

Belanjawan merupakan dokumen dasar utama tahunan kerajaan. Dalam Belanjawan 2020, kita boleh lihat dengan jelas petunjuk DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, terutamanya dalam kelulusan elaun kritikal RM200 sebulan kepada 14,000 anggota bomba di seluruh negara. Perkara ini sebenarnya telah sekian lama diperjuangkan, dan setelah mendapat perhatian Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, maka dasar ini akhirnya berjaya dilaksanakan. 

Dalam ucapan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan turut mengiktirafkan inspirasi DYMM Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, apabila kerajaan memperuntukan RM20 juta bagi mengembangkan program TVET kepada para banduan. Ini berikutan Tuanku Permaisuri Agong memperagakan Kain Tenun Pahang Diraja yang ditenun penghuni Penjara Penor dan Bentong semasa istiadat pertabalan Yang DiPertuan Agong ke-16 pada bulan Julai yang lalu. 

Jelas di sini, Institusi Raja mampu untuk mengemudi kerajaan ke arah urus tadbir baik, bersih dari rasuah dan salahguna kuasa, serta mendatangkan manfaat kepada Rakyat.

Institusi Raja sebagai perekat sosial

Saya meminjam frasa perekat sosial ataupun “social glue” ini daripada Sultan Nazrin Shah dalam buku baginda yang bertajuk “The Monarchy in Contemporary Malaysia”. Di sini lebih afdal untuk menelaah terus tulisan baginda:

“The monarchy provides a kind of social glue helping to bind us. It is true that the monarchy is a potent symbol of Malaysia being the “Land of the Malays”, and thereby primarily a bastion of Malay culture, identifying with the Malays as the definitive people. But it is not exclusive. The monarchy is extended to Malaysians of all ethnic groups who accept its constitutional identity and live comfortably with its Malay-oriented social dimension.”

Dalam kata lain, Raja-Raja menjadi pengikat kesatuan bangsa Malaysia. 

Apabila orang-orang politik sibuk mengajak penyatuan berasaskan kaum masing-masing, Institusi Raja menjadi pencetus penyatuan rakyat Malaysia pelbagai kaum. 

Pada September 2017, Sultan Johor, Sultan Ibrahim dalam komen baginda tentang sebuah dobi di Muar yang hanya menerima pelanggan beragama Islam telah bertitah bahawa amalan ini tidak sesuai dengan masyarakat negeri Johor. Titah baginda, “Johor milik Bangsa Johor, dan milik semua kaum dan agama.”

Baru-baru ini, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam titah perasmian Dewan Undangan Negeri Perlis telah menyeru semua pihak untuk mengamalkan kesederhanaan serta menghormati perbezaan yang ada bagi mengelak sebarang ketegangan terutama berkaitan agama dan kaum. 

Ini selaras dengan Tujuh Amanat Tuanku Raja Perlis, di mana Amanat Ketujuh berbunyi,

“Pegangan Islam dalam Negeri Perlis hendaklah harmoni untuk semua pihak; tanpa mengira bangsa dan agama. Islam yang diajar dalam Negeri Perlis hendaklah bersifat universal yang kebaikan dan rahmatnya merangkumi semua kaum dan agama. Pendekatan Islam yang diajar kepada anak-anak di sekolah dan rakyat jelata hendaklah bebas dari unsur perkauman dan permusuhan antara rakyat disebabkan perbezaan kaum dan agama semata.”

Amanat Baginda ini wajar dirakam dalam tawarikh bersama amanat Raja-Raja terdahulu. 

Dua ciri dalam Perlembagaan Persekutuan juga mengesahkan peranan Institusi Raja sebagai perekat sosial ini. 

Pertama, Institusi Raja dirujuk sebagai “Raja-Raja” sekaligus menunjukkan bahawa Duli-Duli Tuanku merupakan Raja bagi seluruh Rakyat Malaysia dan bukan Raja sesuatu kaum sahaja. 

Kedua, Institusi Raja diberi kuasa Perlembagaan untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain. Malah Perkara 38(5) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa sebarang perubahan berkaitan hak Bumiputera yang terkandung dalam Perkara 153 perlu melalui Majlis Raja-Raja. 

Jika Institusi Raja ialah Pelindung, maka selesailah pertikaian tentang hak Rakyat dalam Perlembagaan

Kita sedia maklum bahawa hak setiap kaum dalam Perlembagaan tidak boleh dipersoalkan. 

Sudah ada peruntukan perundangan terhadap mereka yang mempertikaikan perkara tersebut.

Namun, di satu sisi lagi, dewasa ini, ada pihak yang suka membuat provokasi bahawa hak Bumiputera terhakis ataupun tercabar. Provokasi sebegini sebenarnya tidak patut berlaku kerana ia mewujudkan ketegangan dalam masyarakat dan akhirnya boleh menyebabkan perpecahan.

Orang-orang yang membuat provokasi ini sebenarnya sedang memperlekehkan Institusi Raja yang menjadi Pelindung kepada hak Bumiputera dalam Perlembagaan. 

Kesimpulannya, Institusi Raja di Malaysia mempunyai hikmah tersendiri bukan sahaja untuk mengekalkan kedaulatan Raja-Raja malah memainkan peranan yang proaktif sebagai Raja Berpelembagaan menerajui negara ke dekad ke-3 abad ke-21 dan seterusnya. Demokrasi di Malaysia menjadi unik dan diperkukuhkan lagi dengan Institusi Raja sebagai Peneraju Negara dan Pelindung Rakyat. 

Steven Sim merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

Artikel ini diolah daripada ucapan yang disampaikan di Seminar Institusi Raja VI pada 24 Oktober 2019. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s