[Press Statement] Kerajaan patut menyokong dan bukan mengongkong Parlimen Digital

Kenyataan media bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim

6 JULAI 2020 | KUALA LUMPUR

Kerajaan patut menyokong dan bukan mengongkong Parlimen Digital

Hampir setahun yang lalu, Parlimen Malaysia telah meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Undi18 yang diterajui oleh Kementerian Belia dan Sukan di bawah pimpinan Pakatan Harapan. 

Matlamat utama Undi18 ialah untuk memberikan hak mengundi kepada belia berumur 18 tahun dan sejajar dengan itu memperkasakan belia Malaysia dalam hal ehwal kenegaraan.

Justeru, saya berasa amat bangga dengan kejayaan persidangan Parlimen Digital yang menyaksikan penyertaan belia Malaysia berumur antara 15 – 35 tahun.

Bagi yang mengikuti persidangan Parlimen Digital tersebut, jelas terbukti bahawa anak muda Malaysia bukan sahaja peduli akan isu-isu negara malah berupaya menyumbang idea-idea bernas bagi berhadapan isu-isu tersebut, dan berbahas dengan tertib dan berhemah dalam kerencaman idea yang dibentangkan. 

Oleh itu, adalah amat malang sekali kita dikejutkan dengan berita bahawa ada Ahli Parlimen Digital yang telah dipanggil oleh pihak polis untuk disoal siasat.

Saya menggesa kerajaan agar menghentikan tindakan tersebut dan jangan membazir masa Polis Diraja Malaysia demi kepentingan politik sempit pihak pemerintah. 

Saya juga menyeru agar pihak Kementerian Belia dan Sukan membawa cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Parlimen Digital untuk dipertimbangkan di Kabinet sebagai dasar kerajaan. Inilah tindakan yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan dan bukan mengerahkan polis untuk menyoalsiasat Ahli Parlimen Digital. 

Akhir sekali, kerajaan juga patut belajar daripada Parlimen Digital tatacara menggunakan teknologi untuk menganjurkan persidangan Parlimen Malaysia.

Perancangan awal adalah penting dalam berdepan dengan keadaan di mana kekangan wabak ataupun faktor lain yang tidak membenarkan persidangan Parlimen secara fizikal seperti yang didakwa oleh pihak kerajaan pada 18 Mei yang lalu.

Steven Sim Chee Keong

Ahli Parlimen Bukit Mertajam