Bahasa Malaysia, Hikayat

Rekod awal alam Melayu tentang perjalanan Haji

Tatkala umat Islam menyambut Aidil Adha, saya ingin berkongsi apa yang dipercayai antara catatan terawal di alam Melayu tentang perjalanan mengerjakan ibadah Haji.

Hikayat Hang Tuah merekodkan pengembaraan Hang Tuah ke Mekah dalam perjalanannya ke Rum, ataupun lebih tepat lagi Istanbul, yang berada di bawah pemerintahan Uthmaniyah. Hang Tuah diperintahkan oleh Sultan Melaka ke Rum untuk membeli senjata api.

Antara pembesar-pembesar Melayu yang menyertai rombongan Hang Tuah termasuklah sahabat karibnya, Hang Kasturi yang bergelar Maharaja Setia, dan Maharaja Dewa. Mereka diiringi lebih 1,600 orang pengikut.

Rombongan Melayu Melaka itu bergerak dengan kapal-kapal utama Mendam Berahi dan Sairul-alamin. Kapal-kapal tersebut belayar selama lebih kurang dua bulan dari Melaka ke Jeddah. Antara hentian awal ialah Aceh di utara Sumatra. Di sana rombongan Melaka berhenti selama 12 hari untuk mengisi bekalan air, kayu dan sirih pinang.

Dari Aceh, kapal-kapal tersebut merentasi Lautan Hindi, kemudian Lautan Arab dan akhirnya memasuki Selat Mokha melalui laluan air sempit antara tanah Habshah dan Mokha untuk sampai ke pengkalan Judah (Jeddah).

Sesampai di Jeddah, Hang Tuah membuat keputusan untuk mendarat bagi “mengunjong kubur Siti Hawa itu mengambil berkatnya”. Dalam masa yang singkat sahaja, kepetahan Hang Tuah berbahasa Arab dan tata susilanya menyebabkan dia disukai oleh Syahbandar Jeddah, pegawai yang menjaga pelabuhan di situ. Sebagaimana Hang Tuah menyantuni orang-orang tua sama ada di Melaka ataupun semasa misi diplomatiknya ke luar negara, Hang Tuah melayani Syahbandar seumpama ayahnya sendiri.

Disebabkan hubungan karib itu dan “bulan haji sudah hampir”, Syahbandar telah mencadangkan agar Hang Tuah terus tinggal di Jeddah untuk sehari dua sementara menunggu untuk menunaikan Haji.

Kebetulan ketika itu, Malik Rastal, pemerintah Jeddah “dipanggil oleh Amirulmukminin” untuk pergi ke Mekah, maka pembesar-pembesar Melayu pun mengikut rombongan Malik Rastal itu. Mereka menaiki unta dan mengambil masa “antara dua malam perjalanan” untuk sampai di Mekah.

Mereka menginap di situ sementara menanti masa untuk mengerjakan Haji. Dalam tempoh ini, rombongan Melayu sempat menziarahi “segala kubur syeikh dan wali Allah, nabi segenap tempat ziarah.” Hikayat juga mencatat kemeriahan Mekah ketika musim Haji terutamanya bagaimana rombongan jemaah Haji dari negeri Mesir dan Syam dengan amir haji mereka “membawa emas dan perak berpuluh-puluh belakang unta … terlalu banyak rakyat datang kedua buah negeri…terlalu indah-indah dengan takhta kebesarannya dan membawa pelbagai (barang) dagangan”.

Dari situ, Hikayat telah merakamkan kisah yang mungkin merupakan rekod terawal di alam Melayu tentang ibadah Haji.

Pada 9 hb Zulhijah, jemaah haji termasuk pembesar-pembesar Melayu bergerak ke Bukit Arafah “mengerjakan seperti rukun haji itu.” Setelah itu, mereka “turun ke Mina pula melontar batu yang bernama Jamratul Akabah dan Jamratul Wusta dan Jamratul Ula itu”, diikuti ibadah korban dan “Laksamana dan Maharaja Setia pun bercukur”.

Selepas selesai segala “syarat perintah haji”, mereka pulang ke Mekah, “lalu ziarah pula pada Makam Ibrahim”.

Pada 10 Zulhijah, “tirai Kaabahtullah pun disalin orang.” Hang Tuah sempat membeli sebahagian tirai itu. Keesokan harinya, Hang Tuah “masuklah ke dalam Kaabatullah sembahyang lalu mencium batu bernama Hajarul Aswad.” Kemudian, dia keluar lalu bertawaf bersama orang ramai. Selesai sudah amalan tawaf, pembesar-pembesar Melayu pun mengambil air telaga zamzam dan bergerak ke Madinah.

Setelah berjalan 12 hari 12 malam berpandangan “hanyalah langit dan bumi”, mereka tiba di Madinah. Ketika di situ, Hang Tuah mengambil kesempatan “mengunjung kubur Nabi sallalLahu alaihi wasallam”, kubur Sayidina Othman di Baki’, kubur Halimah, kubur Sayidina Hamzah di Jabal Uhud, berpatah balik ke “kubur sallalLahu alaihi wasallam… dan Sayidina Abu Bakar, dan Omar ibni Khattab, dan Fatimah Zuhra.”

Pembesar-pembesar Melayu itu tinggal di Madinah selama 12 hari dan kemudian meninggalkan kota tersebut bersama dengan jemaah Haji yang ingin pulang ke negara masing-masing menggunakan laluan kapal laut di pengkalan Jeddah. Maka sampai di sini tamatlah kisah terawal orang Melayu melawat ke tanah suci dan menunaikan Rukun Islam kelima, iaitu mengerjakan Haji.

Hikayat Hang Tuah telah memberikan tahun peristiwa tersebut sebagai 886 Hijra bersamaan dengan 1482 Masihi.

Steven Sim ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang minat membaca dan mengkaji hikayat lama.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s