Bahasa Malaysia, Politics

Perbahasan Belanjawan 2021

Teks ucapan perbahasan Belanjawan 2021 oleh Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam pada 17 November 2020. 

Minggu lepas YB Pasir Mas berkata bahawa syarat-syarat yang dikemukakan oleh pelbagai pihak untuk menyokong Belanjawan 2021 bagaikan “syarat Puteri Gunung Ledang”, iaitu dalam kata lain, “syarat itu bukan dengan tujuan untuk pinangan itu diterima tetapi signal bahawa pinangan itu ditolak.”

Sebenarnya, mengikut Sejarah Melayu, apabila mendengar syarat Puteri Gunung Ledang tersebut, Sultan Mahmud Syah boleh bersetuju dengan syarat-syarat luar biasa seperti jambatan emas, jambatan perak, hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, air mata satu tempayan, air pinang muda satu tempayan – semua itu ok, kecuali darah puteranya sendiri satu mangkuk itu, tiada sampai hatinya.

Negara kita kini berada dalam satu keadaan yang luar biasa. 

Kita berdepan pandemik yang menyerang satu dunia. Walaupun pada awalnya, kita berjaya mengawal penularan wabak Covid-19, kini rakyat berdepan gelombang ketiga wabak tersebut. Keadaan bertambah buruk kerana kita juga menghadapi krisis ekonomi yang paling teruk dalam sejarah generasi ini, dan seakan-akan sudah jatuh ditimpa tangga, negara berdepan ketidakstabilan politik akibat langkah khianat Sheraton pada bulan Februari yang lalu. 

Keadaan yang luar biasa memerlukan langkah-langkah luar biasa untuk menanganinya. 

Saya tidak rasa syarat yang pembangkang kemukakan, termasuk lanjutan moratorium, peningkatan bantuan kebajikan kepada RM1,000 sebulan, pemansuhan JASA, dan sebagainya ialah “syarat Puteri Gunung Ledang”. Namun, hakikatnya dalam keadaan luar biasa ini, kerajaan harus bersetuju waima “syarat Puteri Gunung Ledang” sekalipun sekiranya betul-betul ikhlas hendak luluskan Belanjawan Perpaduan demi kebajikan rakyat. 

Kecualilah kalau kerajaan tak sampai hati melihat bank “berkorban” RM6.4 billion selepas untung RM32 bilion tahun lepas untuk lanjutkan moratorium, tak sampai hati darah anak raja semangkuk itu. 

Di sini krajaan perlu meletakkan rakyat dan perniagaan kecil sederhana Malaysia sebagai asas pertimbangan belanjawan 2021 dan bukan kepentingan korporat semata-mata. Belanjawan 2021 sepatutnya menjadi perisai ekonomi kepada semua lapisan rakyat Malaysia.

Sebelum ini saya telah mengemukakan 10 cadangan kepada Kementerian Belia dan Sukan secara terbuka. Oleh kerana masa tak cukup, saya hanya akan mengetengahkan lima cadangan utama di sini. Namun saya berharap KBS dan kementerian berkaitan akan mempertimbangkan keseluruhan 10 cadangan saya setiap satu dengan serius. Lima cadangan utama saya ialah:

  1. Melanjutkan tempoh moratorium pembayaran balik PTPTN selama enam bulan lagi selepas Disember 2020 dan menyelaraskan semula had gaji minimum kepada RM4000 sebelum pembayaran balik dimula kan.
  1. Pelepasan cukai pendapatan bagi pembelian komputer dan alat bantuan pembelajaran atas talian sehingga dua orang anak setiap isi rumah. 
  1. Memperluas Geran Khas Prihatin RM3,000 one-off untuk merangkumi golongan belia yang berminat dan serius untuk memulakan perniagaan kecil.
  1. Geran Khas One-Off sehingga RM100,000 untuk Persatuan-Persatuan Belia Kebangsaan di bawah MBM bagi aktiviti belia berkaitan pengurusan Covid-19, serta meningkatkan geran aktiviti untuk persatuan-persatuan belia di semua peringkat. 
  1. Geran Khas One-Off sehingga RM100,000 untuk Persatuan Sukan Kebangsaan dan geran aktiviti untuk persatuan-persatuan sukan lain di semua peringkat bagi memastikan kesinambungan pembangunan sukan; serta peruntukan RM3 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bagi memperluas jaringan keselamatan dan kebajikan bekas atlet negara.

Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakan saya, orang Pulau Pinang, YB Menteri Belia dan Sukan atas peruntukan RM20 juta di bawah Tekun sebagai dana pinjaman mudah untuk industri sukan. Saya berharap butiran dana tersebut boleh diumumkan secepat mungkin kerana industri sukan sudah tenat dan amat memerlukan bantuan segera. Saya juga berharap jumlah peruntukan dana tersebut boleh ditambah kepada sekurang-kurangnya RM100 juta. 

Kerajaan perlu menyelamatkan sektor belia dan sukan negara. Saya perhatikan bahawa peruntukan KBS telah dipotong hampir 20%. Ini bukan masanya untuk pemotongan perbelanjaan sektor belia dan sukan. 

Jangan kita salah faham bahawa peruntukan kepada sektor belia hanya sekadar untuk buat “event”. Hakikatnya, banyak persatuan belia yang melaksanakan program sukarelawan masyarakat, contohnya, kaunseling, tuisyen percuma, program kesihatan, khidmat masyarakat di kawasan kampung dan desa. Semasa krisis, seperti bencana, dan ketika musim Covid-19 dan PKP ini, persatuan belia setempat banyak memainkan peranan penting membantu masyarakat di kawasan masing-masing. Semua ini bukan sahaja membantu kerajaan meringankan beban masyarakat, malah mengasah aktivisme belia. 

Saya berpendapat selama lapan bulan ini, sektor belia dan sukan telah dianaktirikan. Kerajaan nampaknya cendurung mengambil jalan mudah tanpa memberikan penyelesaian yang berkesan.

Contohnya Piala Malaysia yang ditundakan dan kemudiannya dibatalkan walaupun Menteri Belia dan Sukan sendiri telah cuba merayu kepada Majlis Keselamatan Negara. Sebenarnya, Piala Malaysia hanya tinggal beberapa perlawanan sahaja. Kerajaan boleh menetapkan perlawanan-perlawanan ini diadakan di negeri-negeri hijau seperti Kelantan, Pahang dan Perlis, dianjurkan tanpa penonton, dan para pemainnya boleh diasingkan dalam gelembung sukan (ataupun sports bubble) sepanjang musim selain pelaksanaan SOP yang lain. Strategi sebegini telah dilaksanakan dengan berjaya di luar negara. Bahkan atlet-atlet negara kita di Bukit Jalil juga berlatih dalam sports bubble selama tempoh wabak ini. 

Ya, memang mudah dan senang kalau kerajaan tutup dan batalkan semua benda. Tapi kita tidak boleh ambil jalan mudah. Rakyat perlukan kepimpinan dan penyelesaian yang strategik bukan kerajaan yang mengambil jalan mudah. 

Seterusnya, saya mendapati bahawa di sembilan kementerian, emolumen untuk penjawat awam dan kakitangan kontrak telah dipotong. 

Contohnya, di bawah KBS, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Perusahaan Peladangan & Komoditi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan MITI, emolumen penjawat awam secara keseluruhannya telah dipotong. 

Manakala di kementerian-kementerian lain, emolumen penjawat awam untuk agensi-agensi penting juga dipotong, malah Jabatan Pekhidmatan Awam sendiri terkesan. 

Di KBS, bagi pembangunan belia dan sukan, emolumen telah dikurangkan hampir RM6 juta, sebahagian besarnya merangkumi pemotongan emolumen di Jabatan Belia dan Sukan hampir RM5 juta. Adakah ini bermaksud bilangan penjawat awam di JBSN akan disusutkan dan kebajikan mereka turut akan dikurangkan? Kerajaan tidak sepatutnya mengambil kesempatan krisis ini untuk memecat penjawat awam kita, walaupun pekerja kontrak, mahupun membekukan sebarang kebajikan pekerja kepada mereka.

Bagi Kementerian Dalam Negeri pula, emolumen dikurangkan sebanyak RM58.6 juta. Di masa anggota polis kita dikerahkan ke barisan hadapan bekerja keras melindungi rakyat, emolumen polis telah dikurangkan lebih kurang RM124 juta. Dalam kementerian yang sama, emolumen untuk aktiviti pembanterasan dadah di bawah Agensi Anti-Dadah Kebangsaan dipotong sebanyak lebih RM13 juta. Apakah justifikasi untuk pemotongan emolumen penjawat awam termasuk pekerja barisan hadapan sebegini rupa?

Walaupun unit propaganda zaman BN dihidupkan semula dengan bajet RM81.5 juta, namun, emolumen staff hanyalah lebih kurang RM4.04 juta. Di bawah “perkhidmatan dan bekalan” JASA 2.0, peruntukan yang diberikan adalah hampir RM74 juta. Malah jumlah perjawatan dalam JASA 2.0 ini hanyalah 52 orang. Dalam kata lain, JASA 2.0 yang disuntik dana gergasi ini bukannya menggunakan tenaga kerja penjawat awam, tetapi akan menggunakan kontraktor serta konsultan luar dan kemungkinan besar, mengikut jejak BN dulu, ahli-ahli parti politik. 

Saya khuatir pemotongan emolumen penjawat awam ini merupakan petanda bahawa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan, dan bagi yang mampu mengekalkan kerja mereka, mereka akan dinafikan pelbagai tuntutan dan kebajikan sebagai penjawat awam. 

Dalam pasaran kerja yang lembab, saya menyaran kerajaan agar tidak memecat penjawat awam atau mengurangkan hak mereka. Malah, saya mencadangkan agar kerajaan persekutuan mengikut langkah kerajaan negeri Pulau Pinang, di mana, dengan sumber yang amat terhad, kerajaan negeri telah mewujudkan 1000 jawatan Digital Coaches (Ataupun Jurulatih Digital) yang akan turun ke komuniti untuk menggalak, mempromosi dan membimbing masyarakat setempat beralih ke arah pendigitalan. Banyak urusan norma baharu memerlukan kakitangan tambahan – contohnya memastikan penjarakan sosial dan SOP tempat-tempat awam dan sebagainya. Kerajaan boleh mengambil kesempatan ini untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mewujudkan peluang pekerjaan sementara ataupun tetap bagi membantu mereka yang kehilangan kerja. Justeru, saya cadangkan kerajaan memperuntukkan RM100 juta kepada setiap kerajaan negeri sebagai dana khas pengurusan Covid-19. Ini bagi membolehkan setiap negeri menangani masalah unik berkaitan Covid-19 di kawasan masing-masing dengan lebih berkesan. 

Saya nampak kerajaan akan melaksanakan program MyStep. Idea program ini bagus, tetapi apakah routemap kerajaan ke arah pelaksanaanya? Berapa lama perlu ditunggu sebelum 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan GLC berjaya diwujudkan? Apakah gaji yang bakal ditawarkan? Jika dilihat daripada peruntukkan RM700 juta tersebut, secara puratanya, 50,000 pekerjaan itu hanya akan membayar gaji lebih kurang RM1160 sebulan untuk setahun. 

Dengan pengangguran mencecah 1 juta orang dan kemungkinan penjawat awam terutamanya kakitangan kontrak yang bakal diberhentikan, penyerapan 50,000 orang ke dalam sektor awam dan GLC tidak mampu mendatangkan impak yang besar, jika ia berjaya dilaksanakan sekalipun. Jangan macam Puteri Gunung Ledang, orangnya cantik dipandang tapi malangnya pantang dipinang. Jangan buat pengumuman serba indah tetapi tidak mendatangkan faedah kepada rakyat. Dalam cerita Puteri Gunung Ledang dalam Sejarah Melayu, ini dikatakan kerja sia-sia mengejar bayang-bayang:

Kuning Ledang bagai dikarang, 

Riang-riang disambar wakab; 

Hairan memandang dunia sekarang, 

Bayang-bayang hendak ditangkap.

Masalahnya cadangan oleh pembangkang bukan  “syarat Puteri Gunung Ledang”. Kita mahukan yang terbaik untuk rakyat dan negara tercinta. Masalahnya ialah Belanjawan yang dibentangkan itu Belanjawan Puteri Gunung Ledang. 

Jangan pula kecam dan ugut pembangkang untuk luluskan Belanjawan Jasa 2.0 dengan pelbagai peruntukan untuk kerja-kerja propaganda politik, sama ada Jasa, Penggerak Komuniti Tempatan, Projek Khas berbilion ringgit. Kerajaan kini seakan-akan overconfident dan tidak mengendahkan titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk jangan bermain politik dan berusaha meluluskan Belanjawan Perpaduan demi rakyat Malaysia. 

Ingat amaran Puteri Gunung Ledang dalam Sejarah Melayu:

Dang Nila memangku puan, 

Berembang buah pedada; 

Adakah gila bagimu tuan,  

Burung terbang dipipiskan lada

Burung masih belum tertangkap tapi dapur sudah menumbuk ramuan. Belanjawan belum diluluskan, kerajaan sudah berangan-angan memakai belanja untuk kepentingan politik sempit. 

Kerajaan harus ikhlas dalam usaha menyatupadukan Ahli-ahli Dewan yang mulia ini untuk meluluskan satu Belanjawan Perpaduan yang mampu menjadi perisai ekonomi kepada rakyat Malaysia. Bukan potong emolumen penjawat awam, bukan potong emolumen polis dan barisan hadapan, bukan abaikan sektor belia dan sukan, bukan bentang Belanjawan Jasa 2.0, dan jauh sekali Belanjawan Puteri Gunung Ledang yang indah khabar dari rupa. 

Belanjawan kali ini mestilah benar-benar meletakkan wang ke tangan rakyat dan perniagaan kecil dan sederhana Malaysia. Ketepikan politik, fokus kepada melindungi nyawa, menyelamatkan mata pencarian dan memulihkan kualiti kehidupan rakyat. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s