Bahasa Malaysia, COVID19

Kembalikan perlindungan takaful percuma MySalam kepada M40 dan Luaskan Manfaat MySalam untuk merangkumi 3T Covid-19 di hospital kerajaan dan swasta

Kenyataan media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam

16 JANUARI 2021 | BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG

Kembalikan perlindungan takaful percuma MySalam kepada M40 dan Luaskan Manfaat MySalam untuk merangkumi 3T Covid-19 di hospital kerajaan dan swasta

Apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengehadkan ujian saringan Covid-19 kepada kontak terdekat yang bergejala sahaja, ini jelas membuktikan bahawa sistem penjagaan kesihatan kita sudahpun tidak mampu lagi untuk menghadapi lonjakan kes Covid-19. 

Sistem 3T, yakni penyaringan, pengesanan dan perawatan (testing, tracing, treating) berada dalam keadaan kekurangan sumber yang amat tertekan.

Kerajaan perlu segera mengembangkan keupayaan 3T, kerana ini langkah paling berkesan melawan Covid-19 dan melindungi ekonomi rakyat berbanding sekatan pergerakan. Penglibatan sektor swasta amat dialu-alukan.

Kini pihak KKM sedang berbincang dengan jaringan hospital swasta untuk berkongsi beban merawat pesakit Covid-19 dan pesakit lain. 

Namun, kita memahami kekangan hospital swasta yang tidak dibiayai wang cukai seperti hospital kerajaan. Gaji para pekerja hospital swasta pula bergantung kepada pendapatan hospital daripada yuran perubatan pelanggan.

Justeru, pertama sekali, saya menyeru jaringan hospital swasta untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (corporate social responsibility) mereka dan memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan mampu (affordable healthcare service) kepada rakyat Malaysia dalam keadaan krisis ini.

Keduanya, kerajaan perlu memberikan subsidi kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital swasta sama ada untuk Covid-19 ataupun penyakit lain dalam tempoh pandemik.

Sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan telah memperkenalkan satu skim takaful (insurans) percuma MySalam kepada kumpulan B40 dan M40. Skim ini memberikan perlindungan sehingga RM8,000 untuk penyakit kritikal dan pampasan RM50 sehari sehingga 14 hari jika terpaksa diwadkan di hospital. Kerajaan PH juga sempat memperluaskan perlindungan penerima MySalam untuk merangkumi penyakit Covid-19.

Justeru, dari Januari 2020 sehingga Julai 2020, Menteri Kewangan telah melaporkan bahawa seramai 2,124 orang pesakit Covid-19 telah berjaya membuat tuntutan MySalam dengan pembayaran sebanyak RM1.3 juta. 

Dalam tempoh yang sama, jumlah keseluruhan tuntutan di bawah MySalam, merangkumi semua jenis penyakit, ialah 16,893 tuntutan dengan jumlah pembayaran lebih RM20.9 juta.

Skim MySalam di bawah PH dijangka memberi perlindungan takaful kesihatan kepada 8 juta rakyat Malaysia. 

PN secara diam-diam memansuhkan insurans percuma MySalam kepada  M40?

Malangnya, kini laman web MySalam tidak lagi menyenaraikan M40 sebagai penerima MySalam. Adakah ini bermakna kerajaan Perikatan Nasional secara diam-diam tidak lagi memberikan perlindungan MySalam kepada kumpulan M40?

Jika benar saya menggesa agar kerajaan memulihkan semula perlindungan takaful percuma MySalam kepada kepada kedua-dua kumpulan B40 dan M40. Ini bukan masanya untuk mengurangkan perlindungan kesihatan kepada rakyat Malaysia!

Selain itu, manfaat MySalam juga patut diperluaskan untuk merangkumi perkhidmatan 3T Covid-19 di hospital kerajaan dan swasta. 

Ini sekaligus dapat mengurangkan beban rakyat dan juga beban kewangan kerajaan terutamanya apabila terpaksa mendapatkan perkhidmatan di hospital swasta. 

Akhir sekali, saya menyeru agar institusi insurans swasta yang lain juga akan memperluaskan manfaat produk insurans mereka merangkumi perkhidmatan 3T Covid-19 kepada pelanggan mereka. 

Steven Sim Chee Keong

Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s