Bahasa Malaysia, Politics

Malaysia menghadapi krisis lima berganda manakala PN terus berbohong dan hidup dalam pembohongan sendiri

Kenyataan media Steven Sim, MP Bukit Mertajam

20 JANUARI 2021 | BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG

Kenyataan media oleh Dr Afif Bahardin, Timbalan Pengerusi Biro Penerangan BERSATU menunjukkan bahawa bukan sahaja Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali sahaja yang menipu diri sendiri mengenai keyakinan pelabur asing kepada Malaysia, malah seluruh mereka yang berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga tenggelam dalam pembohongan tersebut, hidup dalam penafian dan enggan mengakui masalah besar yang dihadapi oleh negara kita. 

Aliran masuk pelaburan asing 2021 Malaysia masih negatif sedangkan negara jiran jauh meninggalkan kita

Dr Afif mengemukakan nilai aliran masuk bersih pelaburan asing untuk tempoh satu minggu sahaja pada tahun ini yang berjumlah RM326 juta bagi menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap pasaran ekonomi Malaysia sedangkan jumlah aliran bersih pelaburan asing pada tahun 2021 bagi Malaysia masih negatif sebanyak RM11 juta. Pada tempoh yang sama bagi tahun 2021, Thailand menerima RM36 bilion dan Indonesia menerima hampir RM13 billion dalam aliran masuk pelaburan asing ke negara masing-masing.

Pada tahun 2020, di bawah PN, aliran keluar bersih pelaburan asing Malaysia merekodkan jumlah setinggi RM25 bilion. 

Keadaan ini jelas mencerminkan kehilangan keyakinan pelabur asing terhadap pasaran ekonomi negara, sama ada secara sendirian mahupun jika dibandingkan secara relatif dengan negara ASEAN yang lain. 

Bursa saham jatuh 1.89% dalam tempoh pengumuman PKP 2.0, Darurat dan PERMAI

Cubaan Dr Afif mengambil prestasi harian Bursa Malaysia untuk dikaitkan sebagai petunjuk aras keyakinan pelabur terhadap pengumuman Kerajaan adalah dangkal. Jika perkaitan ini mahu digunakan, adakah BERSATU dan Kerajaan PN akan menganggap Bursa Malaysia yang tutup 1.07% lebih rendah pada hari Perdana Menteri mengumumkan Pakej Bantuan PERMAI RM15 bilion menunjukkan bahawa pelabur tidak yakin dengan pakej ini dalam membantu ekonomi, perniagaan dan rakyat untuk menghadapi PKP 2.0 dan Darurat? 

Malah, dalam tempoh pengumuman PKP 2.0, Darurat dan Pakej PERMAI, Bursa Malaysia telah turun sebanyak 1.89%. 

Laporan penarafan Fitch amat jelas: penurunan penarafan kredit Malaysia disebabkan kedudukan kewangan, ketidakstabilan politik, kekurangan ketelusan dan piawaan tadbir urus dan ini melembapkan sentimen pelabur

Dr Afif juga ingin menyeleweng fakta bahawa penurunan penarafan kredit negara Malaysia untuk kali pertama sejak Krisis Kewangan Asia 1997/98 hanya disebabkan kemelesetan ekonomi global dari aspek kelemahan pelaburan dan penurunan kedatangan pelancong. 

Ini terang-terang menafikan kemerosotan metrik kredit utama Malaysia yang menyebabkan penurunan dari A- ke BBB + selain daripada kedudukan kewangan kerajaan iaitu ketidakstabilan politik dan kurangnya ketelusan atau piawaian tadbir urus. Fitch berpandangan bahawa kemerosotan tadbir urus dan ketidakpastian politik yang berterusan akan melembapkan sentimen pelabur, yang membataskan pertumbuhan ekonomi. 

Tindakan BERSATU mempertahankan bahawa penurunan penarafan kredit ini sebagai kononnya perkara biasa apabila berlakunya kemelesetan ekonomi global dan pandemik Covid-19 adalah sangat memalukan, sedangkan jelas secara faktanya, di antara enam (6) ekonomi utama ASEAN – Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Philippines dan Vietnam, hanya Malaysia yang menerima penurunan penarafan kredit oleh Fitch. 

Tiada lagi Menteri Kewangan dalam sejarah Malaysia yang disangkal dan dikritik secara terbuka oleh para pelabur asing kerana ketidakcekapan seperti Menteri Kewangan PN

Adakah Dr. Afif lupa bahawa tidak pernah lagi dalam sejarah Malaysia, seorang Menteri Kewangan disangkal dan dikritik secara terbuka oleh para pelabur asing kerana ketidakcekapan seperti Menteri Kewangan PN sekarang, baru-baru ini. Semua ini menunjukkan bahawa kerajaan PN secara keseluruhannya telah kehilangan kredibiliti dan tidak mampu untuk mentadbir negara pada masa genting seperti ini. 

Penafian fakta menunjukkan bahawa PN tidak mampu dan tidak berminat untuk mentadbir dengan baik, kita perlu semak imbang Parlimen serta merta

Penggunaan data secara terpilih dan penafian fakta seperti dilakukan oleh Dr. Afif dalam mempertahankan Menteri Kanan, Azmin Ali membuktikan tiga perkara:

Pertama, Menteri yang dipertahankannya tidak mampu untuk mempertahankan pembohongannya bahawa keyakinan pelabur masih kukuh di bawah pentadbiran Kerajaan PN dan tidak akan terjejas akibat PKP2.0 dan Darurat yang menggantung Demokrasi Berparlimen.

Kedua, kerajaan PN pada hari ini tidak mampu serta tidak berminat untuk mentadbir negara dengan baik, dan hanya fokus pada permainan politik menyebabkan pelabur hilang keyakinan, wabak Covid-19 kini tidak terkawal, ekonomi tidak terurus, pengangguran meningkat, harga barang semakin mahal, dan demokrasi kian terhakis. 

Ketiga, peri pentingnya untuk memulihkan demokrasi kita dengan mengadakan sidang Parlimen dan bukan menggantung Parlimen, bagi membolehkan tindak tanduk kerajaan PN pada masa genting ini dipantau, disemak imbang dan diperbetulkan agar kerajaan tidak terus berbohong dan hidup dalam pembohongan diri.

Malaysia dalam krisis lima berganda: PN harus berdepan realiti dan bangkit dari kelenaan pembohongan diri

Ini bukanlah pertandingan siapa lagi hebat dan siapa lagi gagal terutamanya ketika Malaysia menghadapi krisis lima berganda, yakni: krisis kesihatan, krisis ekonomi, krisis politik, krisis keyakinan dan krisis pendidikan yang memberi kesan buruk kepada negara dan rakyat. 

Sebarang kritikan pihak pembangkang terhadap Kerajaan PN adalah untuk menyedarkan Kerajaan dan Kabinet Menteri dari kelenaan pembohongan diri, dan mengambil tanggungjawab serta melakukan sedaya mungkin untuk selamatkan negara dan rakyat, bukannya terus kekal hidup dalam penafian kegagalan Kerajaan PN seperti yang dibuktikan oleh kenyataan Dr Afif dan Menteri Kanan Azmin Ali. 

Steven Sim Chee Keong

Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s