[Opinion] Langkah Sheraton

Hari ini hari peringatan Langkah Sheraton. Peristiwa ini sudah tentu akan masuk dalam sejarah bersama dengan watak-watak yang mendalangi langkah khianat tersebut. 

Watak-watak ini telah cuba mencipta pelbagai naratif, kononnya hendak menjaga Melayu, Islam terancam, hendak menguruskan Covid-19 dan sebagainya. Namun, selepas setahun, semua temberang mereka didedahkan. Covid-19, ekonomi, pendidikan semuanya kucar-kacir. Walaupun dengan jumlah yang terbesar dalam sejarah Malaysia, para Menteri dan Timbalan Menteri seakan-akan tidak mampu, dan tidak berminat untuk mentadbir, melainkan hanya bermain politik dan menikmati kehidupan VVIP darjat tinggi setiap hari, bebas daripada belenggu kemiskinan dan bebas daripada undang-undang yang terpaksa dihadapi oleh rakyat biasa.


Mungkin ramai yang berasa patah semangat dan mungkin juga ada yang sudah berputus asa. 

Tapi bagi saya, semangat anak muda tidak akan pernah luntur. Kita teruskan usaha untuk buat yang terbaik.

Anak-anak muda, kita terus lipat lengan, turun padang. Zero peruntukan, no problem, bantuan Covid-19 tetap sampai kepada rakyat yang kita wakili. Bukan Menteri, no problem, laptop dan tablet tetap diagihkan. 

Kita sudah berjanji buat politik baharu. Jadi tak kira ada jawatan atau tidak, janji tetap janji. Mereka yang berpusu-pusu merampas kuasa tetapi akhirnya tidak berfungsi, biarlah rakyat yang menilai. 

Kerja kita tetap jalan. Ini politik baharu. Pemimpin mana-mana parti yang hendak teruskan politik lama, silakan. Kita Jalan Terus!

Watak-watak Langkah Sheraton ingat mereka akan mematahkan kita dengan Langkah Sheraton. 

Tidak! Dalam masa setahun ini, ramai yang mahukan politik baharu masih terus bekerja. 

Semasa PKP 1.0, atas arahan Ketua Menteri, team saya telah membantu kerajaan negeri Pulau Pinang merancang dan menguruskan kempen Penang Lawan Covid-19. Di Bukit Mertajam, kami telah menghantar 300-500 pek makanan masak setiap hari kepada orang miskin untuk hampir 2 bulan. Lebih 10 tan makanan mentah dan barang-barang dapur diagihkan. 

Pada bulan Januari 2021, saya melancarkan kempen Asal Cek Mau Pi Sekolah, untuk memberikan laptop/tablet percuma kepada anak-anak kita yang terpaksa belajar online. Kami berjaya mengumpul 400 buah peranti untuk diagihkan, lebih 150 orang pelajar menyertai kelas tuisyen online percuma, lebih 120 orang mendapat top-up percuma untuk data internet unlimited satu bulan, dan kami membantu para pelajar mencetak hampir 3,000 mukasurat kerja sekolah dan nota sekolah. 

Memandang kepada perlunya untuk memupuk perpaduan masyarakat Malaysia yang kian rosak dek politik perkauman dan agama yang melampau, dalam masa setahun ini, saya juga telah berusaha menyiapkan buku tentang Hikayat Hang Tuah yang bertujuan mengajak rakyat Malaysia berbilang kaum meraikan ketinggian tamadun Melayu, dan kehebatan bersama kita apabila tamadun Melayu berinteraksi dengan tamadun Cina, India dan sebagainya. 

Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata. 

Satu tahun yang lalu, di kala watak-watak Langkah Sheraton mengorak langkah khianat mereka dan berbangga dengan permainan politik mereka yang licik sehingga berjaya memperdaya kawan dan lawan, saya menulis:

“Hanya dalam gelap gelita,

Kita bisa melihat bintang-bintang.”

Satu tahun kemudian, saya boleh dengan penuh yakin berkata bahawa Langkah Sheraton tidak pernah mematahkan semangat saya. Malah, kami yang berpegang pada janji politik baharu terus mara dengan penuh harapan untuk sebuah Malaysia yang lebih baik. 

Tidak guna kita mengenang yang hilang. Tidak guna kita sekadar pasrah. Kita perlu berani dalam pasrah, terus bekerja, terus berfikir, terus berkhidmat, terus berjuang, terus berpegang pada harapan walau sekecil zarah. Dalam sejarah panjang umat manusia, kejahatan tidak akan berjaya selama-lamanya. 

Steven Sim

23 Februari 2021