Bahasa Malaysia, Gender, Hikayat

Pemerintahan Sultan perempuan Melaka 

Tahun 1482, satu misi seramai 1,900 orang dalam 40 buah kapal Melaka telah tiba di ibu kota Uthmaniyah, Istanbul untuk membeli senjata api. Ketua misi tersebut ialah Hang Tuah, Laksamana tersohor Melaka. Mereka dihantar untuk membeli senjata api kerana Sultan Melaka yang sudah tua ingin memastikan pengganti baginda boleh memerintah dengan aman dan sentosa. 

Baginda Sultan mempunyai lima orang anak. Putera sulung, Raden Bahar merupakan anak puteri Majapahit Raden Emas Ayu, dan telahpun dilantik sebagai pemerintah Majapahit menggantikan nendanya, manakala adiknya Raden Bajau dirajakan di kerajaan lama Palembang. Isteri kedua Sultan, Tun Teja juga mempunyai dua orang anak, Raja Mahmud dan Raja Ahmad, dan kedua-duanya dirajakan masing-masing di Lingga dan Bentan. 

Selepas tujuh generasi, takhta Parameswara kini ditakdir untuk diwarisi oleh satu-satunya puteri Sultan, Puteri Gunung Ledang. Ya, Melaka akhirnya mempunyai seorang pemerintah perempuan. 

Sekembalinya misi ke Istanbul, Sultan yang tua membuat keputusan untuk menyerahkan takhta kepada puteri baginda itu. Puteri Gunung Ledang dirajakan dengan penuh istiadat mengikut adat yang ditetapkan oleh moyang baginda, Sultan Muhammad Syah, pemerintah Melaka yang ketiga.

Perakam sejarah merekodkan pemerintahan Puteri Gunung Ledang sebagai “adil dan murah akan segala rakyat dan dagang sentri yang pergi datang itu sangat tafahusnya. Maka negeri Melaka pun sentosalah, makin bertambah-tambah ramainya dengan sebab Bendahara dan Temenggung dan Laksamana memelihara negeri itu. Maka dagang dan sentri pun banyaklah pergi datang berniaga pada negeri itu.”

Kota Melaka lama yang diperbuat daripada kayu diruntuhkan lalu dipasang ganti dengan meriam yang besar-besar diatur berkeliling negeri berlapis-lapis. Orang Portugis yang tiba di Melaka pada zaman tersebut menulis tentang kepesatan pelabuhan Melaka di mana setiap hari ada 2,000 kapal berlabuh di sana. Di Eropah, orang berkata bahawa sesiapa yang menguasai Melaka maka kota Venice yang kaya raya akan berada dalam cengkamannya. Begitulah kegemilangan dan kekayaan Melaka di bawah pemerintahan Puteri Gunung Ledang, Sultan perempuan Melaka yang tunggal dan juga pemerintah terakhir empayar Melayu yang agung itu.


Cerita di atas sudah tentu adalah separa fiksyen – kita tahu bahawa dalam sejarah tiada pemerintah perempuan di Melaka purba. 

Dan Puteri Gunung Ledang mungkin lebih terkenal sebagai perawan mistik yang diberahi Sultan Mahmud, pemerintah Melaka yang terakhir ketika Portugis menyerang Melaka pada 1511 (Baginda telah menyerahkan takhta kepada puteranya Sultan Ahmad, tetapi kemudiannya telah mengambil balik selepas Sultan Ahmad gagal menewaskan Portugis).

Tetapi, walaupun fiksyen, cerita tentang Sultan perempuan Melaka itu bukan rekaan saya. Kisah tersebut diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah yang ditulis lebih 300 tahun yang lalu, hanya beberapa generasi selepas jatuhnya Melaka ke tangan penjajah.

Ada sesetengah pengkaji yang mengandaikan bahawa Hikayat Hang Tuah ditulis untuk memberi motivasi kepada waris-waris Melaka bagi merampas kembali negeri mereka. Andaian ini tidak mustahil memandangkan dalam Sejarah Melayu sendiri tercatat bagaimana tentera Melaka membaca Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah sebagai pembakar semangat pada malam sebelum berperang dengan Portugis. Justeru, Hikayat Hang Tuah menawarkan sebuah peringkatan baharu tentang kegemilangan empayar Melayu tersebut dan sebuah inspirasi baharu untuk merampas kembali negeri daripada penjajahan.

Namun, menarik sekali ketika pengarang Hikayat Hang Tuah mencetus semangat baru untuk mengembalikan maruah Melaka, dia telah membayangkan seorang Sultan perempuan yang berwibawa di tempat Sultan Mahmud yang kaki perempuan.

Mungkin, seperti yang dikatakan oleh sesetengah sarjana, dalam minda patriarki masyarakat feudal, kehilangan kerajaan oleh seorang Sultan lelaki merupakan malu yang amat besar, justeru, lebih baik cerita itu ditulis semula untuk disalahkan ke atas seorang Sultan perempuan. 

Tapi, mungkin juga leluhur Melayu sebenarnya tengah membayangkan apakah keadaan akan lebih baik jika seorang raja yang zuhud memerintah Melaka ketika serangan Portugis dan bukannya Sultan Mahmud yang kejam ataupun anaknya Sultan Ahmad yang tidak berwibawa. 

Jika dilihat melalui perspektif ini, maka daripada suatu cubaan untuk menyalahkan seorang Sultan perempuan atas kehilangan kerajaan, pengarang Hikayat sebenarnya sedang cuba memadamkan raja-raja lelaki yang memalukan daripada dunia cerita Melayu dan meletakkan seorang pemerintah perempuan yang berwibawa sebagai waris daulat kerajaan Melayu Melaka. Dalam kata lain, imaginasi Sultan perempuan sebenarnya suatu kritikan terhadap Sultan Mahmud itu sendiri – tidakkah ini jelas dengan pengarang menggunakan watak Puteri Gunung Ledang yang digila-gilakan oleh Sultan Mahmud sehingga baginda sanggup mengosongkan perbendaharaan kerajaan demi untuk meminang puteri tersebut. 

Namun, apa juga sebabnya, imaginasi leluhur Melayu tentang seorang Sultan perempuan amat menarik sekali. 

Pada hari ini, ketika kita membincangkan sama ada perlunya untuk lebih ramai wanita dalam politik, dalam kita mengagumi pemimpin-pemimpin wanita seperti Angela Merkel dan Jacinda Ardern dan tertanya-tanya adakah Malaysia sudah bersedia untuk mempunyai seorang Perdana Menteri wanita, dalam kita berdepan bantahan geng-geng chauvinis yang melaung-laungkan faktor adat, tradisi dan alasan “ini bukan budaya kita”; ketahuilah bahawa ketika leluhur Melayu membayangkan sebuah epik hero Melayu bagi membangkitkan semangat keperwiraan dan cinta akan negara, dia telah menulis tentang kegemilangan pemerintahan Sultan perempuan Melaka. 


Selamat Hari Wanita Antarabangsa 2021.

Steven Sim ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s