Bahasa Malaysia, COVID19, Govt

Menteri yang salah faham: Rakyat mahu kompaun RM10,000 dimansuhkan bukan diskaun 50%

Kenyataan media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam

18 MAC 2021 | BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata bahawa rakyat telah salah faham tentang kompaun RM10,000 pelanggaran SOP Covid-19. Beliau juga mengaku bahawa tiada garis panduan rayuan dibuat sebelum ini dan perincian hanya dibuat selepas kompaun RM10,000 tersebut mendapat kecaman keras rakyat Malaysia. (Rujukan: https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2021/03/797127/kompaun-rm10000-hanya-salah-faham

Sebenarnya yang salah faham bukannya rakyat, tapi kerajaan persekutuan. Rakyat inginkan kompaun RM10,000 dimansuhkan dengan sepenuhnya bukan diberi diskaun 50%.

Kerajaan persekutuan jelas terburu-buru dalam tindakan menaikkan kompaun kepada RM10,000 tanpa sebarang garis panduan jelas dan kini keadaannya tidak bertambah baik walaupun dengan garis panduan terbaru yang dikeluarkan hampir seminggu selepas lebih 1331 orang telah dikenakan kompaun RM10,000. 

Proses rayuan kompaun RM10,000 tambah beban frontliners satu tindakan tidak bertanggungjawab

Keputusan kerajaan untuk “menendang bola” kepada pejabat kesihatan daerah (PKD) bagi rayuan kompaun RM10,000 juga satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab sama sekali. Pegawai-pegawai kita di PKD merupakan pekerja barisan hadapan menguruskan operasi sistem penjagaan kesihatan awam termasuk Covid-19. Kini, mereka terpaksa menjadi pusat memproses rayuan kompaun RM10,000 dengan pelbagai syarat, contohnya pelajar, B40, penyakit kronik dsb. 

Adakah ini cara yang baik untuk melawan Covid-19?

Kerajaan jangan hukum rakyat kerana kegagalan kerajaan sendiri dalam pengurusan Covid-19

Dalam pada itu, diskaun 50% tetap di luar kemampuan rakyat biasa. Kerajaan tidak harus menjadikan kekayaan Menteri dan VIP sebagai tanda aras meletakkan nilai denda. Sedangkan Menteri dan VIP sendiri sering terlepas daripada SOP mahupun hukuman pelanggaran SOP yang dikenakan ke atas rakyat biasa. 

Sebuah portal berita kesihatan awam telah melaporkan bahawa denda RM10,000 yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia merupakan 16 kali lebih tinggi daripada Australia dan jauh lebih tinggi berbanding negara-negara seperti Thailand, Arab Saudi, Singapura dan New Zealand tetapi kes Covid-19 negara kita tetap lebih banyak berbanding negara-negara tersebut dalam tempoh dua minggu ini. (Rujukan: https://codeblue.galencentre.org/2021/03/16/malaysias-rm10000-no-mask-fine-16-times-higher-than-australia/)

Kerajaan persekutuan tidak boleh melepaskan tanggungjawab kegagalannya menguruskan wabak dengan menghukum rakyat dengan undang-undang yang berat. 

Strategi utama kerajaan untuk melawan Covid-19 ialah melalui pemerkasaan 3T (testing, tracing, treatment), bukan mencari kesalahan rakyat dan menghukum dengan berat. Ini termasuk merancakkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang masih berada pada tahap yang perlahan.

Undang-undang Covid-19 berbeza dengan undang-undang biasa. 

Undang-undang biasa bertujuan menghukum kelakuan anti-sosial yang dianggap tidak normal seperti mencuri, mencabul, mencedera dan sebagainya.

Dalam kata lain, undang-undang melarang kita daripada membuat kelakuan tidak normal tersebut. 

Undang-undang Covid-19 pula terbalik, ia bertujuan memaksa kita membuat kelakuan tidak normal seperti memakai pelitup muka, penjarakan sosial dan sebagainya. Semua kelakuan ini bukan perbuatan yang normal (justeru dipanggil norma baharu), tidak semulajadi dan bukan merupakan kebiasaan mahupun budaya normal waima setahun kita menghadapi wabak. 

Undang-undang Covid-19 dilaksanakan kerana kita berada dalam keadaan tidak normal atau luar biasa. 

Justeru, undang-undang Covid-19 harus lebih bersifat mendidik dan bukan menghukum, jauh lagi menghukum dengan sebegitu berat. 

Steven Sim Chee Keong

Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s