Bahasa Malaysia, Community, COVID19

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu berhenti bermain dengan kehidupan rakyat dengan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang olok-olok dan sebaliknya menggandakan usaha untuk mempercepatkan proses vaksinisasi

Kenyataan media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam

14 MEI 2021 | BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG

Setakat ini, kerajaan PN terbukti gagal membendung pandemik Covid-19 dengan jumlah kes positif harian kini mencecah 4,855 orang (13 Mei 2021) manakala jumlah kematian mencatat angka harian tertinggi pada 12 Mei 2021 dengan 39 kematian dan jumlah kematian keseluruhan seramai 1,761 orang. 

PKP 2.0 dan, terbaru PKP 3.0, boleh dikatakan sebagai PKP olok-olok kerana 1) tidak dikenakan secara setara ke atas semua berdasarkan fakta dan data, terutama sektor yang mewujudkan banyak kluster; 2) SOP tidak dikenakan secara adil dengan sesetengah VIP seperti Menteri, Timbalan Menteri dan orang kenamaan diberi kelonggaran ataupun tidak dihukum setimpal rakyat biasa bila berlaku pelanggaran SOP; dan 3) PKP dilaksanakan tanpa memperkasakan 3T (testing, tracing, treatment). Contohnya, negeri seperti Perlis yang tidak mencatatkan sebarang kes baharu jangkitan juga dikenakan PKP. 

Walaupun rakyat bersedia untuk berkorban demi meratakan lengkuk jangkitan seperti semasa PKP 1.0, namun PKP olok-olok selepas itu dilihat sebagai menyukarkan kehidupan rakyat terbanyak dari aspek sosial, ekonomi dan kesihatan mental. Asyik-asyik rakyat terbanyak disaran berkorban, sedangkan strategi PKP kerajaan tidak membuahkan hasil yang dikehendaki.

PKP olok-olok sudah gagal, jangan gagalkan PICK

Pada peringkat ini, kerajaan harus menggandakan usaha bagi mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk mencapai matlamat vaksinisasi sehingga 80% penduduk Malaysia menjelang hujung tahun ini. 

Setakat 12 Mei 2021, pendaftaran individu bagi PICK hanya berada pada tahap 41.60 peratus atau 10.1 juta pendaftaran. 

Fasa 2 PICK mensasarkan vaksinisasi penuh (2 dos) untuk 9.4 juta atau 30.9% penduduk menjelang Ogos 2021. Namun, setakat 12 Mei, hanya 732,305 orang yang telah menerima vaksinisasi penuh, dan angka ini termasuk 500,000 penerima vaksin di Fasa 1. Adakah kerajaan mampu mencapai sasaran yang ditetapkan?

Jawapannya jelas: PICK sudah tersasar jauh daripada sasaran asal. 

Setakat ini, kerajaan telah mengatakan bahawa antara faktor kadar vaksinisasi yang perlahan ialah kekurangan bekalan vaksin dan bekalan akan bertambah pada bulan Jun nanti. Namun, soalannya ialah, apakah jaminan bekalan vaksin akan diterima pada bulan Jun dan jika kita berjaya menerima bekalan tersebut, adakah proses sedia ada mampu meningkatkan kadar vaksinisasi harian untuk mencapai 9.4 juta penduduk menjelang Ogos 2021? 

Sasaran kerajaan untuk mencapai kadar vaksinisasi sebanyak 160,000 orang sehari bagi Fasa 2 tidak meyakinkan kerana ini adalah lebih tiga kali ganda daripada kemampuan semasa iaitu 40-50 ribu orang setiap hari, walaupun kita sudah berada pada bulan ke-2 Fasa 2 ini. 

Dengan penambahan bekalan vaksin berserta lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan vaksinator sekalipun, kadar vaksinisasi harian dikhuatiri tidak mampu ditingkatkan dengan segera kepada 160,000 orang sehari bagi mencapai sasaran 9.4 juta penduduk pada akhir bulan Ogos, apatah lagi mencapai 80% penduduk pada hujung tahun ini. 

Kerajaan perlu buat apa sahaja, termasuk membelanjakan wang, untuk meningkatkan bekalan vaksin secepat mungkin dan meningkatkan kadar vaksinisasi harian bagi mencapai 80% penduduk Malaysia pada hujung tahun seperti yang disasarkan. Kita tidak punya pilihan lain. Kerajaan patut berhenti bermain dengan kehidupan rakyat dengan strategi PKP olok-olok. Lebih baik kita menaruh segala usaha untuk mempercepatkan proses vaksinisasi.

Steven Sim Chee Keong

Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s