Bahasa Malaysia, Community, COVID19

Mengapa permohonan Pulau Pinang untuk mendapatkan vaksin Covid-19 tidak mendapat sebarang maklum balas KKM selepas 3 bulan sedangkan Sarawak sudahpun mendapat kelulusan?

Kenyataan media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam

18 MEI 2021 | BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin pada bulan April 2021 telah mengatakan bahawa kerajaan negeri yang berhasrat membeli sendiri bekalan vaksin COVID-19 boleh membuat permohonan kepada kerajaan persekutuan.

Beberapa hari lepas, Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak Dr Annuar Rapaee mengatakan Sarawak bakal menerima 500,000 dos vaksin COVID-19 Sinovac yang dibeli melalui inisiatif kerajaan negeri.

Ini menimbulkan persoalan bagaimana Sarawak boleh mendapat kelulusan kerajaan persekutuan untuk membeli bekalan mereka sedangkan Pulau Pinang tidak menerima kelulusan yang sama. Adakah ini kerana perbezaan politik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Pulau Pinang?

Sejak 15 Februari 2021, kerajaan negeri Pulau Pinang telah memohon kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menerima sumbangan 2,000,000 dos vaksin Sinovac bagi kegunaan rakyat Pulau Pinang tanpa melibatkan kos kepada kerajaan persekutuan. Namun selepas tiga bulan, permohonan tersebut masih tidak mendapat maklum balas daripada kerajaan persekutuan.

Isu bekalan vaksin adalah masalah utama dalam program imunisasi sekarang apabila bekalan vaksin tidak mencukupi. Walaupun Fasa 2 pemberian vaksin sudah bermula pada April 2021, sehingga kini, masih ramai warga emas yang merupakan kumpulan sasaran bagi fasa ini masih belum mendapat tarikh untuk menerima vaksin pertama mereka.

Malah dalam kenyataan saya sebelum ini, saya telah memberi amaran bahawa matlamat vaksinisasi 9.4 juta penduduk Malaysia menjelang Ogos 2021 dan seterusnya sasaran vaksinisasi 80% penduduk Malaysia pada hujung tahun ini akan gagal jika kerajaan tidak membuat perubahan yang drastik kepada proses sedia ada bagi pelaksanaan PICK pada masa kini.

Semakin hari semakin ramai rakyat yang terkorban dengan sia-sia dengan kematian harian tertinggi mencecah 45 orang dan kini telah berjumlah 1,947 orang. Jangkitan gelombang ketiga Covid-19 juga melonjak tinggi sehingga kembali ke paras 4,000 kes baharu setiap hari.

Kerajaan persekutuan perlu melakukan apa sahaja untuk memastikan benteng terakhir negara iaitu PICK tidak gagal seperti strategi melawan Covid-19 sebelum ini.

Ini bukannya masa untuk berpolitik. Kerajaan persekutuan perlu bekerjasama dengan semua pihak, termasuk kerajaan negeri tanpa melihat kepada perbezaan politik bagi menjayakan kempen melawan Covid-19. Kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengenepikan perbezaan politik dan menjadi antara negeri terawal menyahut seruan kerajaan persekutuan untuk bekerjasama melawan Covid-19 sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020.

Apabila kerajaan negeri Pulau Pinang kini sanggup memberi bantuan kepada kerajaan persekutuan dalam pelaksanaan PICK, jangan pula menolak tanpa sebarang alasan yang munasabah.

Steven Sim Chee Keong
Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s