[Press Statement] Tiada kompromi dalam isu gangguan seksual di kalangan atlet: Jaminan sektor sukan yang bebas gangguan dan penderaan harus menjadi sebahagian daripada VSN2030

Kenyataan media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam

26 MEI 2021 | BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG

Gangguan seksual yang berlaku di kalangan atlet negara seperti pendedahan yang dibuat oleh atlet renang Cindy Ong bukanlah perkara baru. (Sumber: https://m.malaysiakini.com/news/576015) Saya bersimpati dengan nasib malang dan pengalaman buruk yang telah dialami oleh Ong yang telah banyak berjasa kepada sukan negara. 

Pendedahan ini harus membuka mata semua pihak mengenai budaya toksik yang berlaku di kalangan atlet kita. Gangguan seksual yang berlaku terutamanya ketika latihan bukan sahaja akan memberi kesan kepada mangsa malah menjejaskan sektor sukan negara secara keseluruhannya. 

Justeru, kerajaan tidak boleh berkompromi dalam isu ini.

Budaya menidakkan dan membungkam suara atlet demi untuk menutup malu tidak harus berlaku. Semua pemegang taruh, daripada  Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara, sehinggalah persatuan sukan kebangsaan, jurulatih dan pegawai sukan, serta para atlet, malah ibu bapa mereka, patut diberi ruang untuk melaporkan kejadian gangguan seksual dan salah laku lain yang berlaku tanpa rasa takut. 

Semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan, melalui agenda pemerkasaan atlet secara amnya dan atlet wanita secara khususnya, KBS telah mengambil beberapa langkah proaktif dan praktikal bagi memastikan kes gangguan seksual melibatkan atlet tidak berlaku. Ini menunjukkan kesungguhan dan keseriusan kerajaan sebelum ini untuk menangani perkara ini. 

Antaranya, penubuhan Jawatankuasa Mencegah Gangguan dan Penderaan yang diketuai oleh Datuk Low Beng Choo, bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia dan dianggotai tokoh-tokoh sukan wanita seperti Dato’ Marina Chin, Dato’ Zaiton Othman dan beberapa bekas atlet yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk menguruskan isu berkaitan dengan gangguan dan penderaan, termasuk gangguan seksual yang dihadapi oleh atlet. 

Selain itu, sebuah Pusat Atlet telah ditubuhkan dalam perkarangan Majlis Sukan Negara dengan kemudahan-kemudahan rekreasi dan kaunseling untuk atlet. Pusat Atlet tersebut berfungsi sebagai one-stop-centre untuk aktiviti kebajikan para atlet, yakni ruang yang selamat untuk atlet kita beriadah, di samping mendapatkan pelbagai perkhidmatan seperti khidmat nasihat pendidikan dan kerjaya, kaunseling dan juga khidmat aduan. 

Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan, KBS buat pertama kalinya telah memperuntukkan RM10 juta untuk program Wanita Dalam Sukan yang bertujuan untuk memperkasakan atlet wanita sedia ada serta meningkatkan penyertaan wanita dalam sukan. 

Sebagaimana kerajaan sebelum ini, saya berharap pihak KBS akan terus memandang serius isu gangguan seksual ini dan mengambil tindakan yang tegas. Dalam aspek ini, seiring dengan penggubalan Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030), saya menyarankan agar agenda pemberdayaan wanita dalam sukan dan jaminan sektor sukan yang bebas gangguan dan penderaan akan dirangkumkan dalam VSN2030. 

Saya juga berharap Jawatankuasa Mencegah Gangguan dan Penderaan  yang telah ada terus diperkasakan bagi mengelakkan atlet menjadi mangsa gangguan dan penderaan di samping meneruskan agenda pemerkasaan atlet wanita dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada dari masa ke semasa.

Steven Sim Chee Keong

Ahli Parlimen Bukit Mertajam