General

Bantuan RM3,000 one-off untuk industri sukan umpama memberi penyedut minuman kepada orang sedang lemas

Kenyataan media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam

29 Jun 2021 | BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG


Saya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri tentang pemberian bantuan one-off sebanyak RM3,000 kepada pengusaha industri sukan. Ini sekurang-kurangnya menunjukkan bahawa akhirnya industri sukan diberi sedikit perhatian setelah diabai oleh kerajaan untuk lebih setahun. 

Namun, bantuan one-off RM3,000 itu langsung tidak memadai dan umpama memberi penyedut minuman kepada orang yang sedang lemas. 

Industri sukan merupakan antara sektor yang paling terjejas selepas setahun negara menghadapi pandemik Covid-19. Sektor ini antara yang terawal ditutup dan antara yang terakhir dibuka semula. Berbeza dengan sektor lain, model perniagaan industri sukan sukar untuk diubah contohnya kepada sistem “penghantaran” seperti sektor penjualan makanan dan minuman. Justeru, apabila kerajaan mengarahkan penutupan industri sukan, pengusaha-pengusaha dalam sektor ini akan terputus pendapatan sama sekali. 

Ini belum kira para pekerja makan gaji, jurulatih, instruktor, juru terapi dan sebagainya yang sudah terputus gaji hampir setahun. Industri sukan memberi pekerjaan kepada 15,000 pekerja. 

Baru-baru ini, satu gabungan pengusaha gim dan pusat kecergasan melaporkan bahawa sejak Mac 2020, mereka telah kerugian lebih RM110 juta. 

Krisis industri sukan tidak dapat diselesaikan dengan RM3,000 sahaja. 

Sebelum ini saya telah mencadangkan satu peruntukan RM100 juta sebagai Dana Kelangsungan Industri Sukan dengan beberapa langkah seperti subsidi 50% sewa bulanan, geran pendigitalan RM10,000, bantuan bulanan RM1,000 kepada individu bekerja sendiri dalam industri sukan, RM1,000 elaun bulanan upskilling dan reskilling kepada mereka yang mengikuti kursus pensijilan sukan dan kejurulatihan. 

Jika dibandingkan dengan kerugian RM110 juta oleh sektor gim dan pusat kecergasan sahaja, RM100 juta ini bukanlah besar sangat untuk keseluruhan industri sukan. Tambahan pula, RM100 juta merupakan hanya 10% belanjawan tahunan Kementerian Belia dan Sukan yang sememangnya tidak dapat menjalankan banyak program pada tahun ini. Justeru tidak keterlaluan jika peruntukan ini digunakan untuk menyelamatkan industri sukan yang sedang lemas.

Saya juga menyaran agar Skim Pembiayaan Industri Sukan diubah kepada pinjaman mudah tanpa faedah dengan moratorium automatik 6 bulan pertama. 

Selain itu, insentif cukai kepada syarikat yang memberi keahlian gim atau kemudahan sukan yang lain kepada pekerja mereka, menganjurkan aktiviti sukan sama ada secara fizikal atau maya dan menaja sukan. 

Kerajaan juga perlu membuat keputusan penutupan sektor sukan berdasarkan data dan sains, bukan secara rambang dengan melabelkan sektor ini sebagai “bukan keperluan utama”. 

Steven Sim Chee Keong

Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s