Bahasa Malaysia, Community, COVID19, Economy, General, Govt, media

Moratorium: Bila bank susah, kerajaan guna wang rakyat Malaysia untuk bantu bank, kini rakyat susah, takkan kerajaan masih hanya jaga kepentingan bank?

Kenyataan media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam

05 JULAI 2021 | BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG

Perdana Menteri akhirnya telah mengumumkan moratorium pembayaran balik pinjaman bank melalui PEMULIH selepas didesak teruk oleh rakyat. Namun, moratorium ini umpama cantik dilihat sedap didengar tapi tak boleh pakai.

Moratorium PEMULIH ini amat jauh berbeza daripada apa yang dikehendaki dan diperlukan rakyat:

Bukan moratorium automatik

Pertama sekali, ini bukan moratorium automatik yang dituntut oleh rakyat kerana masih perlu memohon dengan pihak bank. Selepas seminggu pengumuman oleh Perdana Menteri, masih tiada sebarang kenyataan daripada Bank Negara tentang pelaksanaan moratorium kali ini. Adakah ini bermakna, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak bank untuk menentukan cara pelaksanaan? Adakah setiap bank bebas menetapkan syarat permohonan, pengiraan faedah, tempoh bayaran balik dan sebagainya? Jika benar, adakah bank akan berpihak kepada rakyat sedangkan Menteri sendiri sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang menjaga kepentingan serta keuntungan bank?

Bukan moratorium tanpa syarat

Keduanya, ini bukan moratorium tanpa syarat seperti yang diuar-uarkan. Antara syarat utama yang menjadikan moratorium ini mustahil dimanfaatkan oleh rakyat yang paling memerlukan ialah, peminjam yang mempunyai tunggakan sebelum ini tidak layak untuk mendapatkan moratorium. Rakyat telah menuntut moratorium automatik sejak tahun lalu kerana sudah tidak mampu lagi membayar pinjaman bank. Apabila moratorium akhirnya diumumkan, golongan yang paling tidak mampu membayar pinjaman berbulan-bulan ini mendapati bahawa mereka tidak layak untuk moratorium. Jadi apakah fungsi moratorium terbaru ini? Sekadar cantik dilihat, sedap didengar, tetapi tidak dapat memberi manfaat sebenar kepada golongan yang paling memerlukan.

Bukan moratorium tanpa faedah

Ketiganya, ini bukan moratorium tanpa faedah yang dituntut. Moratorium terbaharu ini masih tertakluk kepada faedah sepanjang tempoh penangguhan. Kadar faedah pula bergantung kepada bank masing-masing termasuk jenis produk pinjaman yang ditawarkan kepada pelanggan. Dalam kata lain, jika mendapat moratorium sekalipun, keuntungan bank tetap terpelihara. Akhirnya, peminjam terpaksa membuat bayaran bulanan yang lebih tinggi selepas tempoh moratorium, ataupun melanjutkan tempoh hutang.

Jangan lupa rakyat Malaysia pernah selamatkan sektor bank

Kerajaan berkali-kali menolak untuk melaksanakan moratorium automatik sejak tamatnya moratorium pertama pada bulan September 2020. Malah kerajaan memberi alasan seolah-olah hanya berminat untuk menjaga kepentingan serta keuntungan pihak bank.

Hakikatnya, sektor perbankan masih lagi mempunyai untung besar RM23 bilion pada tahun 2020 walaupun telah memberikan moratorium automatik 6 bulan dan seterusnya moratorium bersyarat. Pada tahun sebelumnya sektor ini mencatat keuntungan RM32 bilion. Rakyat sudah terpaksa memecah tabung simpanan hari tua melalui pengeluaran KWSP sebanyak RM78 bilion. Jika rakyat boleh berbelanja RM78 bilion, takkan pihak bank tidak boleh berkorban sedikit?

Jangan lupa bahawa semasa krisis ekonomi 1985-88 dan 1997, kerajaan menggunakan berpuluh-puluh bilion ringgit sumber wang negara dan wang cukai rakyat untuk menyelamatkan bank. Kini apabila rakyat sedang susah, takkan kerajaan hanya menjaga kepentingan bank dan bank hanya risau tentang keuntungan mereka semata-mata.

Steven Sim Chee Keong
Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s