Kenyataan media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam
24 JULAI 2021 | KUALA LUMPUR
Baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan telah memberi kebenaran kepada Pharmaniaga untuk menjual 14 juta vaksin Sinovac kepada pihak swasta bermula bulan Ogos. Menurut Menteri yang bertanggungjawab, Khairy Jamaluddin, ini berikutan Pharmaniaga telah selesai menghantar bekalan vaksin yang ditempah kerajaan.
Tindakan membenarkan vaksin dijual oleh pihak swasta semestinya bermakna bekalan vaksin untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sudahpun mencukupi.
Berdasarkan perkara ini, adalah amat mendukacitakan kerana masih banyak aduan di kalangan rakyat, termasuk yang sepatutnya tergolong dalam Fasa 2 PICK, yang belum mendapat tarikh temujanji vaksin mereka, waima untuk dos pertama.
Setakat 22 Julai 2021, seramai 19.4 juta rakyat Malaysia sudah mendaftar untuk vaksin. Namun, setakat 23 Julai 2021, hanya 11.2 juta rakyat telah sekurang-kurangnya menerima 1 dos vaksin. Jadi masih terdapat 8.2 juta rakyat yang masih menunggu vaksin mereka.
Negeri seperti Pulau Pinang yang mencatatkan 87.7% pendaftaran populasi dewasa tetapi baru 43.5% sahaja yang telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin.
Kes jangkitan harian melonjak pada rekod tertinggi 15,902 kes pada 24 Julai dengan angka kematian kumulatif sebanyak 7,902. Ramai yang berasa gelisah kerana masih belum mendapat tarikh temujanji vaksin mereka.
Sepatutnya dengan jadual penghantaran vaksin yang diketahui dan bekalan vaksin yang mencukupi sehingga kerajaan boleh membenarkan penjualan vaksin kepada pihak swasta, SEMUA rakyat yang sudah mendaftar patut sekurang-kurangnya diberikan tarikh temujanji vaksin yang munasabah.
Tanpa memberikan tarikh temujanji vaksin yang munasabah, kerajaan seakan-akan memberi peluang kepada penjual vaksin swasta untuk mengaut keuntungan daripada keresahan rakyat Malaysia yang belum mendapat apa-apa maklumat tentang temujanji vaksin mereka.
Steven Sim Chee Keong
Ahli Parlimen Bukit Mertajam