[Opinion] Malaysia: Alam pertemuan tamadun

Hikayat Hang Tuah ada merekodkan satu peristiwa di mana raja Melaka telah menitahkan Hang Tuah untuk menakluki negara Patani.

Kisah itu berlatarkan sebuah kerajaan Melayu Melaka yang sudah berada di puncak keunggulannya. Bahkan, titah raja di atas sebenarnya bukan misi utama yang ditugaskan kepada Laksamana. Misi utama ialah untuk Laksamana pergi ke kerajaan Ayutthaya bagi membeli gajah perang. Arahan untuk menyerang Patani sekadar tugas sampingan. Rombongan dagang mampu menjadi armada perang; ini sahaja sudah menunjukkan kekuatan Melaka:

Namun, kisah yang sebetulnya agak polos itu diberi satu gubalan yang agak menarik daripada Sang Pengarang:

Hang Tuah yang sekian lama diperwatakan kepada kita sebagai setia membuta tuli dan sanggup ikut apa saja arahan raja, telah menyembah derhaka tidak bersetuju dengan arahan raja Melaka itu.

Sebaliknya, Hang Tuah telah mencadangkan kaedah diplomasi untuk menjalinkan hubungan dengan kerajaan Patani. Hikayat mengisahkan bahawa dalam perjalanan ke Ayutthaya, Hang Tuah telah mengunjungi Patani, bukan sebagai penakluk tetapi sebagai rajaduta.

Sehingga ke hari ini, orang Patani bangga menjadi penjaga sebuah perigi peninggalan Hang Tuah sebagai bukti kepada perubahan plot dalam kisah di atas.

Dua ideologi yang membantut pembinaan bangsa Malaysia

Tahun ini negara kita menyambut ulangtahun ke-64 Hari Merdeka dan ulangtahun ke-58 Hari Malaysia. Walaupun sudah lebih separuh abad kita membentuk sebuah negara bangsa, jujurnya kita masih tercari-cari model untuk hidup bersama.

Sekian lama kita disajikan dengan dua kerangka ideologi yang ingin mengacu bagaimana masyarakat rencam Malaysia patut berinteraksi.

Pandangan pertama ialah ideologi yang ingin memerangkap kita dalam peristiwa-peristiwa sekadar 50-60 tahun belakang ini seolah-olah bumi dan alam Melayu ini tiada sejarah ratusan, malah ribuan tahun yang begitu kaya dengan pelbagai pengajaran untuk zaman kita.

Mereka yang berpegang kepada kepercayaan ini menambat hubungan kemasyarakatan kita kepada peristiwa 13 Mei, penjajahan Jepun, perang dengan komunis, penjajahan British. Saya tidak bermaksud bahawa peristiwa-peristiwa tersebut tiada pengajarannya. Namun, hubungan kita, bangsa kita, tidak boleh ditakrifkan dengan apa yang terjadi dalam sejarah singkat 50-60 tahun ini kerana interaksi masyarakat rencam di bumi ini sudah berkurun-kurun lamanya. Lebih-lebih lagi, proses pembinaan sesuatu bangsa itu tidak boleh terhad kepada mengambil kira detik-detik paling gelap yang terbit daripada konflik semata-mata.

Pandangan kedua pula ialah ideologi yang percaya bahawa kita sedang menghadapi pertembungan antara tamadun dan akhirnya, hanya satu pihak sahaja yang akan muncul sebagai pemenang. Ini bermakna, pihak-pihak lain perlu dikalahkan, ditakhluki, jika tidak dimusnahkan sekalipun.

Mereka yang berpegang kepada ideologi ini sering memomok-momokan kononnya identiti budaya mereka – yang merangkumi agama, bahasa, dan tradisi – sedang tergugat dalam pertembungan tamadun ini. Justeru, muncullah seruan untuk bersatu padu melawan komuniti yang berlainan budaya. Ada juga yang bersungguh-sungguh melawan sebarang pergaulan budaya, dan dari situ kita nampak timbulnya golongan yang tak boleh tengok perkataan jawi, tak boleh tengok salib dan sebagainya.

Pengajaran hidup bermasyarakat daripada leluhur Melayu

Saya memulakan artikel ini dengan kisah dari Hikayat Hang Tuah kerana saya yakin catatan nenek moyang merakam nilai-nilai bangsa yang mampu memberi panduan kepada kita. Ini kerana bumi ini sudahpun menjadi alam pertemuan pelbagai tamadun sejak azali lagi. Logiknya ialah, jika kita telah berzaman-zaman hidup bersama, semestinya formula untuk terus mewujudkan sebuah masyarakat rencam yang harmoni boleh dicari dalam pengalaman leluhur kita.

Saya sering menekankan bahawa saya tiada kepakaran untuk berdebat sama ada Hang Tuah wujud atau tidak (walaupun saya ada pendapat sendiri tentang isu tersebut), namun, bagi saya Hikayat Hang Tuah bukan setakat biografi tokoh, melainkan juga sebuah rekod sejarah idea tamadun. Bersama karya sastera agung yang lain seperti Sulalatus Salatin, saya melihat khazanah bangsa ini sebagai wasiat leluhur kepada kita semua.

Ini bermaksud kita perlu mengenepikan kedua-dua ideologi sempit di atas dan mengambil satu pendekatan baharu yang sebenarnya merupakan pendekatan bahari.

Kita perlu menghayati sejarah bumi Melayu yang lebih panjang dan lebih mendalam, meraikan pertemuan tamadun yang akhirnya mewujudkan sebuah tamadun baru yang kaya serta kuat kerana pergaulan.

Betul, sejarah moden 50-60 tahun negara Malaysia patut dihayati – itupun sebenar ada banyak elemen positif yang boleh dijadikan pengajaran selain hanya memfokus kepada konflik semata-mata – namun, kita tidak boleh lupa, jauh lagi padam, sejarah panjang bumi ini seakan-akan negara ini tiada warisan yang lebih lama.

Jika di zaman feudal, Hikayat boleh merakamkan peristiwa Laksamana membantah keputusan raja menyerang Patani, maka sah babak tersebut ditujukan sebagai tamsil buat pedoman kita, dan antara pengajaran penting sudah tentu ialah: pertemuan tamadun tidak perlu berakhir dengan pertembungan tamadun.

Mengapa pengarang tidak bernama Hikayat Hang Tuah begitu cermat merekayasa watak adiwira (superhero) yang fasih 12 bahasa, yang “tahu perintah segala raja-raja”, yang pandai dalam ekonomi dan perdagangan, kejuruteraan, strategi perang, psikologi, pentadbiran selain ilmu persilatan?

Pengarang Hikayat tidak merahsiakan sumber ilmu pengetahuan polimat Melayu tersebut. Dia belajar daripada orang Melayu, orang Jawa, orang Cina, orang Arab, orang India dan segala macam budaya yang bermastautin mahupun bermusafir di empayar kosmopolitan Melaka purba.

Kemajmukan menjadi kekuatan, pertemuan tamadun menjana keunggulan yang lebih hebat.

Di istana Vijayanagar, India, Hang Tuah memaklumkan kepada raja Kisna Rayan yang terpegun dengan kefasihan berbahasa Laksamana, bahawa dia telah belajar bahasa Vijayanagar (mungkin Sanskrit) di Majapahit.

Ketika dihantar sebagai duta kerajaan Vijayanagar ke China, Hang Tuah yang pertama kali menjejak kaki ke China berupaya menjelaskan tentang protokol istana Maharaja China dan kebudayaan negara tersebut. Apabila ditanya oleh pembesar Melayu yang mengiringinya di mana Laksamana belajar semua benda itu (kita perlu ingat, zaman itu tiada Internet), Hang Tuah menjawab: bapa angkat saya di Melaka yang berbangsa Cina mengajarnya kepada saya.

Bapa angkat adiwira Melayu sepanjang zaman kita merupakan seorang Cina.

Dalam aspek ini, leluhur kita, dan lebih spesifik, leluhur bangsa Melayu kurun ke-17 atau 18 telah membuktikan sarjana Barat kurun ke-20 silap: Pertemuan tamadun tidak perlu berakhir dengan pertembungan tamadun. Mungkin sebenarnya, hanya ada pertembungan kebodohan (clash of ignorance) seperti yang diperingatkan oleh sarjana Palestin, Edward Said, bukan pertembungan tamadun (clash of civilizations).

Steven Sim merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam.