[Press Statement] Lima (5) usaha “Asal Cek Mau Pi Sekolah” untuk membantu anak-anak Bukit Mertajam berdepan pembelajaran dalam pandemik Covid-19

Kenyataan Media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam

24 JANUARI 2021 | BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG

Negara kita kini menghadapi krisis lima berganda iaitu, 1) krisis kesihatan, 2) krisis ekonomi, 3) krisis politik, 4) krisis keyakinan dan 5) krisis pendidikan.

Seluruh rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama, negeri, jantina, mahupun lapisan umur terkesan dengan krisis lima berganda ini.

Masalahnya ialah, kerajaan Persekutuan seakan-akan “melepas tangan” dan membiarkan rakyat Malaysia bergelut untuk survival masing-masing. Namun, para wakil rakyat, sektor swasta, NGO, dan orang perseorangan seperti Ustaz Ebit Lew telah bangkit untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. 

Di Bukit Mertajam, pada tahun 2020, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam telah menyalurkan bantuan Covid-19 bernilai RM216, 340.00 untuk penduduk di kawasan Bukit Mertajam. Jumlah ini termasuk hampir 20,000 pek makanan masak, 10 tan sayur-sayuran dan ikan segar, beras, makanan tin, susu tepung bayi, minyak masak, selain bantuan tunai dan sebagainya. 

Pada tahun ini, kami akan meneruskan bantuan Covid-19 di Bukit Mertajam. Namun, memandang kepada keperluan yang semakin mendesak di sektor pendidikan, kami juga akan melaksanakan LIMA (5) usaha baharu di bawah program “Asal Cek Mau Pi Sekolah”.

Bagi bantuan Covid-19, LIMA usaha di bawah “Asal Cek Mau Pi Sekolah” adalah seperti berikut:

1) Perkhidmatan Cetak Kerja Rumah Percuma

Ada sesetengah aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang memerlukan para pelajar mencetak kerja rumah. Bagi membantu meringankan beban keluarga, kami akan membantu para pelajar mencetak kerja rumah secara percuma TERHAD kepada kerja rumah sekolah rendah dan sekolah menengah sahaja. Butir-butir adalah seperti berikut: 

Hari Operasi: Isnin – Jumaat

Masa: 10 pagi – 2 petang

Kaedah: Hantar kerja rumah melalui Whatsapp ke nombor 017 568 0348 atau 017 568 0324. 

2) Kelas Bimbingan Atas Talian Percuma

Pendidikan dalam norma baharu memberikan cabaran yang besar kepada para pelajar untuk mengikuti pembelajaran terutamanya melalui PdPR. Justeru, kami menawarkan kelas bimbingan atas talian percuma dengan kerjasama Pusat Tuisyen Rakyat anjuran Penggerak Komuniti Muda (PEKA). 

Kelas bimbingan ditawarkan kepada pelajar Darjah 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 dalam subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Kelas akan berlangsung dari Februari sehingga Disember 2021.

Kaedah:

Permohonan melalui laman web: www.stevensim.com/asalcekmaupisekolah

3) Tambah Nilai Data Internet

PdPR dan pembelajaran atas talian juga memberikan beban kewangan kepada para pelajar dari segi bil internet terutamanya mereka yang terpaksa bergantung kepada perkhidmatan jalur lebar mudah alih (mobile broadband). 

Kami menyediakan kad SIM data tanpa had untuk SATU bulan (MAXIS) dan tambah nilai sehingga RM30 ONE-OFF telco yang lain. 

Kaedah:

Permohonan melalui laman web: www.stevensim.com/asalcekmaupisekolah

4) Program Anak Angkat MP Bukit Mertajam

Program ini merupakan antara program lama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam. 10 orang pelajar akan dipilih dari kalangan pelajar Tingkatan 4 hingga 6 Atas sebagai anak angkat Ahli Parlimen Bukit Mertajam. Setiap mereka akan diberi elaun RM100 sebulan selama setahun sebagai meringankan beban ibu bapa dalam persekolahan mereka. 

Program ini bertujuan untuk membantu para pelajar menumpukan perhatian dalam pelajaran mereka dan tidak bimbang tentang masalah kewangan. 

Kaedah:

Permohonan melalui laman web: www.stevensim.com/asalcekmaupisekolah

5) Komputer Riba Percuma

Pada tahun 2020, Kementerian Pendidikan telah melaporkan bahawa 36.9% pelajar tidak mempunyai komputer, tablet, komputer riba mahupun telefon pintar. Bagi keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang anak yang bersekolah, mereka akan menghadapi masalah kekurangan peralatan PdPR di rumah. 

Justeru, mulai bulan Februari 2021, kami akan mengagihkan 50 komputer riba percuma kepada keluarga yang berkelayakan di Bukit Mertajam bagi membolehkan para pelajar mempunyai pengalaman PdPR yang lebih lancar dan selesa. 

Kaedah:

Permohonan melalui laman web: www.stevensim.com/asalcekmaupisekolah

Sumbangan orang ramai

Memandangkan kini Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam tidak menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan, sumber yang kami ada amat terhad sekali. Namun kami akan terus mencari dana untuk membantu dan mempertingkatkan program “Asal Cek Mau Pi Sekolah” dari masa ke masa mengikut keperluan.


Kami mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi membolehkan kami terus membantu masyarakat setempat. Anda boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank kami: 

Nama Akaun: “Akaun Khas Pusat Khidmat Parlimen Bukit Mertajam”

No. Akaun: 5570 9052 7361

STEVEN SIM CHEE KEONG 

Ahli Parlimen Bukit Mertajam