[Opinion] Hang Tuah bukan yesman

Hang Tuah ialah watak wira Melayu yang tidak boleh dipertikaikan lagi kesetiaannya kepada pemerintah. Catatan di Muzium Negara menggambarkan Hang Tuah “bukan sahaja sebagai pahlawan yang gagah berani tetapi juga… sifat taat setianya kepada Raja sehingga sanggup berkorban apa saja untuk baginda.” 

Hikayat Hang Tuah, biografi wira Melayu ini yang dikarang oleh seseorang leluhur Melayu tidak bernama, memperkenalkan tokoh ini sebagai: “…Hang Tuah yang amat setiakawan pada tuannya dan terlalu sangat berbuat kebaktian kepada tuannya…”

Dalam kata lain, dan meminjam frasa rakan saya Dr. Faisal Tehrani, Hang Tuah inilah Melayu yang terpaling setia.

Justeru, sejak berabad-abad lamanya, watak wira ini dijadikan teladan kepada rakyat marhaen agar jangan melawan mereka yang berkuasa, daripada Raja sampailah kepada kerajaan demokratik sekalipun. Jangan melawan, sudah takdir mereka menjadi pemimpin, maka tanggungjawab kita ialah menurut perintah sahaja.

Kemudian datang pula mereka-mereka yang rebel tidak setuju dengan imejan Hang Tuah sedemikian yang dilihat sebagai “setia membuta tuli” lalu mereka mengangkat Hang Jebat sebagai hero sebenar kerana dia berani melawan kekuasaan. 

Sebenarnya kedua-dua pandangan ini tidak menepati intipati Hikayat Hang Tuah. 

Jika kita rajin membaca, kita akan mendapati bahawa konsep “kesetiaan” dalam Hikayat Hang Tuah jauh berbeza dengan tanggapan puak yang mendukung Hang Tuah sebagai model “jangan melawan kerajaan”; macam langit dan bumi bezanya. 

Hang Tuah dalam Hikayat bukan pak turut 

Hikayat mencatat:

“…barang kata Hang Tuah kata rajalah. Jika raja hendak membunuh orang, kata Hang Tuah tiada harus mati, tiadalah mati orang itu. Jika raja hendak menangkap orang yang berdosa, jika Hang Tuah tiada menangkap, tiadalah tertangkap; dan jika sesuatu bicara, jika Hang Tuah belum masuk, bicaranya belum putus.”

Jelas di sini, Hang Tuah bukan sahaja bukan seorang “yesman” malah berani memberikan pandangan yang berbeza dengan titah Raja. Contoh jika Raja menitahkan seseorang itu dibunuh atau ditangkap, Hang Tuah berani memberikan pandangan sebaliknya. Dan Hikayat turut mencatat kepada kita bahawa, Raja sendiri kadang kala berubah fikiran selepas mendengar nasihat Hang Tuah. 

Daripada sekecil isu kelamin raja, Hang Tuah pernah memberi teguran kepada Raja tentang layanan baginda yang tidak adil terhadap dua orang isteri baginda, Raden Emas Ayu dan Tun Teja, kepada sebesar hal ehwal pertahanan di mana Hang Tuah menolak idea Raja untuk berperang dengan negara Patani; Hang Tuah tidak pernah menjadi pak turut kekuasaan semata-mata. 

Hang Tuah berani lawan pengkhianat yang berdusta walaupun mereka mendapat sokongan Raja

Dalam satu peristiwa, Raja Melaka telah menabalkan saudaranya Sang Jaya Nantaka, salah seorang putera keturunan Sang Sapurba sebagai Raja Muda Melaka. Walaupun berusia muda, Sang Jaya Nantaka telah membuktikan kebolehan dalam pengurusan pelabuhan sehingga mengundang iri hati lalu para pembesar khianat memfitnah Raja Muda kononnya mengepalai satu komplot pemberontakan terhadap Raja Melaka. 

Raja Melaka sendiri termakan fitnah pengkhianat-pengkhianat tersebut dan menitahkan Hang Tuah selaku Laksamana untuk menghukum bunuh Raja Muda Sang Jaya Nantaka. 

Hang Tuah membantah tindakan para pengkhianat itu dan tidak bersetuju dengan titah Raja yang termakan dusta mereka. Hikayat merekodkan bahawa Laksamana lebih sanggup letak jawatan, menyerahkan balik kedua-dua bilah keris rasminya lalu meniarap sujud sembah derhaka ke atas titah Raja itu. 


Raja tidak berpuas hati. Jika Hang Tuah enggan menurut perintah, baginda menitahkan pula Bendahara dan Temenggung untuk melaksanakan hukuman bunuh tersebut.

Kedua-dua mereka juga tidak bersetuju dan enggan melaksanakan titah Raja. 

Jelas di sini bahawa, Laksamana Hang Tuah mahupun pembesar-pembesar utama seperti Bendahara dan Temenggung bukan jenis yang hanya akan ikut perintah secara membuta tuli tidak kira benar atau batilnya. 

Kesetiaan dunia Melayu bermaksud berani menjadi suara nurani mendukung kebenaran

Kesimpulannya, Hikayat menggambarkan Hang Tuah serta pembesar-pembesar utama yang lain seperti Bendahara Paduka Raja dan Temenggung sebagai suara nurani (conscience) dalam istana. 

Kesetiaan kepada pemimpin dan cinta kepada negara memerlukan seseorang itu berani bercakap benar walaupun bercakap perkara yang tidak senang didengar oleh mereka yang berkuasa. Hikayat Hang Tuah karangan leluhur Melayu itu sendiri menyangkal sikap sesetengah pihak dalam masyarakat kita yang berpegang kepada fahaman “jangan melawan kerajaan ataupun pihak berkuasa”. 

Sikap setia membuta tuli ataupun membabi buta tidak dimuliakan dalam masyarakat Melayu lama, waima masyarakat feudal seperti dalam Hikayat Hang Tuah. 

Peranan suara nurani ini adalah amat diperlukan terutamanya oleh mereka yang diberi amanah menjaga negara. Jangan menjadi pak turut semata-mata kerana kepentingan diri sendiri. Walaupun tepu dalam pandangan dunia feudal Melayu, hakikatnya watak-watak wira ideal dalam hikayat Melayu lama sering digambarkan sebagai berani memberi pandangan yang jujur kepada Raja, dan ada kalanya, Raja akan menukar fikirannya selepas mendengar nasihat mereka. Akhirnya, jika Raja tetap berdegil untuk melakukan perbuatan yang salah, watak-watak wira Melayu ideal ini berupaya membezakan antara benar dan batil, dan sanggup mengingkari perintah Raja daripada melakukan kemungkaran, seperti kes Bendahara memberi suaka kepada Hang Tuah apabila Hang Tuah dihukum bunuh oleh Raja yang sekali lagi termakan dusta para pembesar yang khianat. 

Steven Sim ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam